Sesiapa yang nak berkahwin sudah pastinya akan gigih menyimpan wang terutamanya sekali kaum para lelaki yang sanggup mencari duit seboleh yang mungkin demi menghalalkan anak gadis seseorang.
Ada yang mengambil tempoh bertahun-tahun untuk memenuhkan tabung simpanan namun ada juga yang sebaliknya. Bergantung kepada kecekalan seseorang individu tersebut.
Tular di seluruh media sosial apabila baru-baru ini seorang lelaki mesra disapa Paan ini berjaya mengutip lebih RM9000 daripada tabung buluh yang dibuatnya selama tiga tahun sehingga berjaya menikah dengan isterinya sekarang.
Difahamkan Paan seorang guru subjek Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Permatang Buluh, Kedah. Paan turut berkongsi kepada media bahawa dia sudah mula menabung wang setelah dia dan isterinya, Nurul Hannani Patin, 24 merancang untuk mendirikan rumah tangga brsama.
“Selain bekerja sebagai guru dekat sekolah, saya ada juga buat kerja lain. Saya ada banyak buat part-time sewa PA system, bawa Grabcar, Foodpanda, jadi security guard pun pernah.
“Kadang-kadang saya tak masukkan note RM10 setiap hari, saya kumpul cukup seminggu baru masukkan dalam tabung.
“Saya dah berkawan dengan isteri dari sekolah lagi sejak 11 tahun lepas. Kami dah lama plan nak kahwin. Jadi saya pun cakap dekat dia bagi masa tiga tahun nak kumpul duit,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.
Siapa sangka dengan berkat usaha Paan ingin mendirikan rumah tangga bersama pasangannya berjaya membuahkan hasil dan telah selamat melangsungkan majlis akad nikahnya pada 2 Februari lalu.
Paan turut berkongsi dirinya mempunyai enam buah lagi tabung buluh yang berjaya dipenuhkan selama tempoh tiga tahun.
“Alhamdulillah kami dah selesai akad nikah hari Rabu. Duit hasil daripada menabung saya guna untuk mas kahwin, RM1,500 dan selebihnya saya guna untuk hantaran dan kenduri.
“Ada juga saya guna duit simpanan lain bukan dari simpanan tabung kahwin untuk majlis. Baki RM4,000 duit tabung tu saya simpan untuk guna lepas kahwin,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.
Selain itu, video memecahkan tabung buluh yang dimuat naik Paan di laman TikTok mencecah sehingga 1.3 juta kali tontonan!
Video yang tular di laman TikTok
Di ruangan komen pula, ramai yang memuji amalan menabung Paan kerana mereka tahu tidak semua orang mampu melakukannya, malah mereka juga meminta tip menabung daripada Paan.
Paan turut menjelaskan niatnya berkongsi video tersebut hanyalah ingin memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk menyimpan secara konsisten.
“Saya sebenarnya tak percaya saya mampu kumpul sebanyak tu. Memang agak struggle la nak simpan RM10 sehari. Banyak juga nilai tu kalau nak tarik daripada perbelanjaan setiap hari.
“Saya takut juga nak post, banyak juga yang bagi nasihat cakap hati-hati, tapi saya kongsi sebab saya nak bagi orang lain semangat, kita ni manusia kalau kita tak tahu hasilnya, kita tak akan mulakan sesuatu tu.
“Ada yang minta tip. Bagi saya kalau nak menabung ni kena disiplin tinggi. Kalau dah masukkan duit dalam tabung, jangan korek balik. Kalau boleh cari tabung buluh macam saya buat, susah dah nak keluarkan kalau tak belah guna parang,” gurau Paan.
Tuah kerana viral, Paan mengaku selepas videonya tular, dia menerima enam kerja sebagai penyewa PA system pada Sabtu (5 Februari) dimana hari tersebut merupakan hari persandingannya.
Jelasnya Paan lagi, dia menerima tempahan untuk menyewa PA system di sekitar kawasan Perak sehingga ke Perlis.
“Saya tak sangka ramai nak menyewa dengan saya lepas video saya post tu. Enam job saya ambil semua walaupun saya sendiri pun nak pakai PA system sanding pada Sabtu. Tak pasal-pasal saya pula kena sewa dekat orang lain.
“Saya ambil je semua kerja tak tolak satu pun. Sampai bulan dua penuh dah slot. Alhamdulillah, saya anggap ni rezeki kahwin saya,” katanya.