Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu jamuan makan pada dua minggu lepas.
Turut dikenakan denda sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.
Kesemua mereka membayar denda itu.
Sebelum ini, tular beberapa gambar Timbalan Menteri Kesihatan yang didakwa ingkar arahan PKP.
Menerusi gambar yang menjadi bualan netizen, ia menunjukkan Timbalan Menteri tersebut sedang menjamu selera bersama beberapa orang lain tanpa ada penjarakan sosial.
Berikutan daripada itu, kerajaan telah menyerahkan kepada polis untuk menentukan sebarang tindakan ke atas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Malaysia Gazette.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh mengatasi undang-undang dan difahamkan sudah ada laporan polis dibuat ke atasnya.
“Sesiapa saja kena diambil tindakan, tiada siapa boleh atasi undang-undang. Bagaimanapun, saya difahamkan sudah ada laporan polis terhadap kes itu dan kita serahkan kepada polis untuk tindakan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Datuk Dr. Noor Azmi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai dengan Exco Kerajaan Perak, Razman Zakaria mengadakan kunjungan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.
Pada program itu, berlaku aktiviti makan secara berjemaah dan bersalam dalam acara penyerahan saguhati.
Dr. Noor Azmi turut memuatnaik program itu menerusi akaun Facebooknya dengan memaparkan beberapa keping gambar beliau bersama rombongan mengunjungi maahad tahfiz.