Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Menerusi laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.52 tengah hari.
“Setakat ini, saya mengesahkan kejadian tersebut membabitkan seorang lelaki yang telah terjun dari tingkat tiga KLCC.
“Siasatan masih dijalankan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular gambar di media sosial yang memaparkan seorang lelaki terbaring di aras bawah selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan terbabit.
Menurut komen dari netizen yang mendakwa ada di tempat kejadian, lelaki tersebut dikatakan tiba-tiba lari dan melompat melepasi penghadang sebelum terjun. Dikatakan, salah seorang pekerja cuba untuk menghalang tindakan lelaki tersebut namun tak berjaya.
Sebelum ini, pada tahun 2018, pernah tular tentang seorang lelaki yang cuba terjun di pusat beli belah yang sama kerana mengalami masalah kesihatan mental namun tindakannya itu berjaya dihentikan oleh pasukan bomba dan penyelamat.