Kemalangan sememangnya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dimana sahaja dan pada bila-bila masa. Sebab itu lah kita perlu ‘extra’ berhati-hati apatah lagi jika mempunyai anak kecil.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang pengguna dikenali sebagai Aishah Lokman berkongsi sebuah video rakaman dashcam sewaktu memandu membuat ramai terkejut.
Menerusi video tersebut, dapat kita lihat sebuah Myvi berwarna hitam ingin membuat pusingan U di kawasan sekitar Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Namun apa yang mengejutkan adalah tiba-tiba seorang bayi di dalam kereta tersebut terjatuh keluar dan kelihatan meniarap di atas jalan raya.
“Bayi tercicir atas jalan… MasyaAllah.. mujurlah tak digilis kereta atau motosikal..”
Dapat juga kita lihat, pemilik video bergegas keluar mengambil budak kecil itu malah ada juga seorang penunggang motorsikal yang turut berhenti membantu.
Ibu kepada anak kecil itu dengan panik berlari mengambil semua anaknya dan berterima kasih kepada orang awam yang membantu.
Video terebut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video yang tular di media sosial semalam berdurasi satu minit 37 saat yang memaparkan kejadian tersebut.
“Rakaman terbabit memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai perempuan telah tercampak keluar dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika kenderaan terbabit membuat pusingan U.
“Seorang lelaki telah membantu mengangkat mangsa yang tertiarap di atas jalan sebelum diserahkan kepada seorang wanita dipercayai ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kejadian akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mana-mana orang bertanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak didapati menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.”
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen turut cemas melihat insiden tersebut malah bersyukur tidak berlaku apa-apa perkara yang serius.
Bukan itu sahaja, netizen juga meminta agar semua penjaga menggunakan car seat bagi menjamin keselamatan anak-anak mereka ketika menaiki kenderaan.
“Carseat please ibu, pintu set child lock sekali.. alhamdulillah, baby tu selamat, Allah jaga dia” – Netizen.
Video yang tular di laman TikTok: