Terdahulu, nama bekas bintang Gegar Vaganza 9 (GV9) Fuad Rahman tular setelah berkongsi kisahnya yang pernah menjalani hidup di penjara atas penyalahgunaan dadah.
Persis kisah Tom, juga peserta GV9 menceritakan jerih perih mencari rezeki dalam membesarkan anak-anak sebagai seorang ibu tunggal.
Beberapa hari lepas media dikejutkan dengan pengakuan Fuad Rahman yang katanya sedang menjalinkan hubungan dengan Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram.
Fuad atau Mohamed Fuad Abdul Rahman berkata perasaan sayang terhadap bekas teman wanitanya itu mula berputik kembali sejak minggu kedua bersama GV9 dan akhirnya meluahkan isi hatinya kepada wanita itu dua minggu lalu.
“Kami memang sedang menjalin cinta, cinta saya mula berputik pada Tom adalah pada minggu kedua konsert GV. Tapi secara rasmi saya lamar dia untuk couple adalah dua minggu lepas.
“Tujuan saya ajak couple dan menuju ke arah lebih serius agak orang ramai dan peminat tidak salah anggap kalau nampak kami di luar nanti. Kalau-kalau nanti saya terpeluk atau terpegang tangan dia kemudian orang ambil gambar kami dan sebarkan itu lagi bahaya,” jelasnya.
Fuad turut mendedahkan Tom ialah bekas kekasihnya pada 2005 namun terpaksa berpisah disebabkannya menjalani hukuman penjara selama lima tahun.
“Tapi sebenarnya kalau boleh saya dedahkan yang ramai orang tak tahu, Tom merupakan bekas kekasih saya, kami pernah bercinta pada 2005 dan kemudian itu saya telah masuk penjara, selepas itu kami terus tidak berhubung lagi.
“Saya tinggalkan dia waktu itu sendirian agak lama juga. Kemudian lepas keluar penjara saya mulakan hidup baharu, saya kahwin dan ada keluarga, manakala dia bawa diri ke Langkawi. Sampailah kami dipertemukan semula di Gegar Vaganza.
“Waktu pertama kali jumpa di GV saya rasa macam tergamam sebab tak sangka jumpa di situ. Saya tengok dia dah lain, kulit makin gelap. Saya rasa tuhan pertemukan kami semula mesti ada hikmah,” katanya.
Selain itu, Fuad berpendapat pertemuan ini merupakan masa yang tepat untuknya membetulkan segala kesilapannya terhadap Tom dahulu.
“Apa pun dengan peluang kali ini saya ingin tebus semula kesalahan saya yang dulu sebab meninggalkan dia, saya rasa ini waktu terbaik untuk tebus silap saya pada dia.
“Insya-Allah, kalau dipermudahkan saya akan jaga hubungan ini lebih serius. Jika tiada halangan Insya-Allah kalau tidak tahun depan mungkin tahu seterusnya kami akan berkahwin. Apa pun saya minta semua orang doakan hubungan kami dalam keadaan baik,” katanya.
Tak kurang juga netizen yang menyifatkan Tom sebagai pemusnah rumah tangga Fuad bersama isterinya selepas gambar mesra mereka tersebar di media meskipun Fuad masih bergelar suami orang.
“Saya dan isteri sudah lebih tiga bulan tidak bersama… sekarang dalam proses untuk urusan perceraian di mahkamah. Jadi tak timbul isu kononnya Tom menjadi punca saya bercerai.
“Perkahwinan kedua saya hanya bertahan enam bulan sahaja. Kami sepakat untuk bercerai kerana tiada lagi keserasian dalam rumah tangga.
“Orang boleh bercakap apa sahaja kerana mereka tidak tahu hal sebenar. Bekas isteri saya pun tahu hal ini dan dia berharap urusan kami berdua dapat diselesaikan segera.” jelasnya.
Untuk rekod, Fuad dikurniakan dua orang cahaya mata yang kini berusia 16 dan 18 tahun menerusi perkahwinan pertama. Manakala Tom pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dan mempunyai tiga orang cahaya mata.