Nama keluarga Neelofa sekali lagi menjadi bualan netizen apabila sepotong rakaman video ketika berhari raya bersama-sama dikongsikan netizen di Twitter.
Video yang difahamkan pada asalnya dikongsikan kakak Neelofa, Noor Nabila di Instagramnya itu memaparkan aksi bermaaf-maafan dan bersalaman antara ahli keluarga.
Tulis Noor Nabila pada kapsyen video berkenaan; “1 Syawal yang penuh mulia.”
Turut kelihatan dalam video berkenaan ialah adik-beradik Neelofa yang lain.
Walau bagaimanapun, video terbabit telah dipadamkan oleh Noor Nabila namun sempat dirakamkan oleh pengguna di media sosial.
Sehingga kini punca Noor Nabila memadamkan video berkenaan juga tidak dapat dipastikan.
Video tular di Twitter
Rata-rata netizen meninggalkan komen yang pelbagai, malah ada yang menyeru PDRM dan juga Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Sebelum ini, nama Neelofa hangat diperkatakan netizen selepas melanggar SOP ketika majlis perkahwinan dan merentas negeri ke Langkawi, Kedah serta Nilai, Negeri Sembilan.
Neelofa Mohd Noor dan suami, Pencetus Ummah (PU) Riz telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan.
“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai yang pasangan ini telah dipanggil beri keterangan hari ini untuk mengetahui sama ada mereka telah mendapat kebenaran dari polis untuk merentas negeri.
“Siasatan yang dilakukan polis sama sahaja dan tiada bezanya antara selebriti, orang awam atau orang kampung,” katanya seperti dipetik Awani.
Pihak polis juga akan memanggil pemilik dan pekerja kedai karpet yang dikunjungi Neelofa dan PU Riz bagai memberi keterangan berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan polis.
Neelofa, 32, dan PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail, 26, disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Kawalan Pergerakan Bersyarat 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Video berdurasi 15 saat yang dimuat naik Neelofa di Instagram Story memaparkan dirinya dan suami berada di sebuah kedai dipercayai di Pusat Borong Nilai 3, di Nilai menjadi tular pada Sabtu lalu.
Bekas pengacara MeleTOP itu kemudiannya memadamkan video tersebut selepas perkara itu menjadi tular di kalangan netizen.
Terdahulu, pasangan selebriti ini dan keluarga akhirnya dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 kerana didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Isu itu timbul selepas beberapa foto menunjukkan jemputan yang hadir ke majlis perkahwinannya tidak mematuhi SOP PKPB ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tular di media sosial.