Connect with us

#MalaysiaBaru

Tular Video Pendedahan ‘Abang Burger’, Ini Komen Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan warga asing di Sungai Buloh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tegas pasti diambil terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.

“Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.

“Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan, dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini,” katanya.

Dua video yang tular menerusi laman sosial Facebook atas nama akaun Hot Burger Malaysia, semalam mendedahkan kegiatan premis mesin judi dan aktiviti penjualan rokok seludup dan operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, polis akan memanggil seorang pemilik gerai burger bagi membantu siasatan berhubung video tular yang mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

“Individu berkenaan telah membangkitkan isu kegiatan perjudian di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

“Dia turut memuat naik status berkemungkinan dirinya akan dibunuh atas tindakan memuat naik video di laman sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa’aton berkata, pemilik akaun Facebook itu juga tidak berpuas hati terhadap tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyita gerai burger miliknya.

“Kita telah menerima dua laporan polis berhubung video berkenaan daripada Ketua Balai Sungai Buloh dan MBSA,” katanya.

Beliau berkata, video yang tular di media sosial itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Polis Diraja Malaysia dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.

“Maklumat yang diberikan dalam video tersebut juga tidak tepat,” katanya.

Video pertama berdurasi 13 minit 28 saat sudah ditonton hampir 6 juta orang selepas sehari disiarkan, manakala satu lagi video berdurasi 8 minit 29 saat ditonton oleh 1.4 juta penonton.

Rata-rata netizen menyokong usaha lelaki terbabit dan mahukan pihak berkuasa untuk bertindak.

 

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.