Sejak akhir-akhir ini makin banyak kita lihat rakaman video yang memaparkan kemalangan jalan raya berlaku tidak kira lori, kereta mahupun motosikal.
Lebih menyedihkan, ada mangsa yang maut akibat daripada kecuaian pengguna jalan raya yang lain.
Baru-baru ini tular seorang wanita yang membonceng suaminya maut gara-gara dilanggar kereta jenis SUV dari belakang motor yang mereka tunggang.
Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 10 Jalan Kunak-Tawau pada 11 Julai lalu.
Mangsa, 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara suaminya, 39 dan anak mereka berusia tujuh tahun mengalami kecedaraan ringan, lapor Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kunak, Superitendan Sabarudin Rahmat, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Proton X70.
“Setibanya di tempat kejadian pemandu Proton X70 dikatakan, telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan pada masa sama, motosikal yang ditunggang bersama dua pembonceng dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar.
“Akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal telah tercampak ke bahu jalan manakala kedua-dua pembonceng dan motosikal terseret kira-kira sepuluh meter.”
Dalam pada itu, pemandu SUV dan isterinya difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian.
Apa yang membuatkan orang ramai bersimpati dengan keluarga ini adalah kerana mangsa sempat membuat Live di Facebook untuk mengajak pengikutnya bersiar-siar bersama.
Dia yang membonceng di belakang mengeluarkan telefon pintarnya dan menterbalikkan kamera agar orang ramai di Facebook dapat melihat kawasan sekeliling.
Turut kedengaran suara kanak-kanak dipercayai anaknya menangis memanggil wanita itu selepas mereka semua tercampak ke bahu jalan.
Rakaman Live yang tular di laman Facebook