Nama Shaheizy Sam dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang pelakon yang menempa nama pada era 1990-an menerusi filem Sama Tapi Tak Serupa ini mula melonjak naik dalam beberapa filem seperti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Adnan Sempit dan lain-lain.
Selain itu, dia juga telah menerima pelbagai anugerah serta percalonan yang telah menjadikan dia sebagai salah seorang pelakon popular serta berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global.
Namun setelah sekian lama tidak muncul di layar perak, Shaheizy Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam bin Abdul Samad bakal membintangi filem terbaharu Malbatt Misi Bakara pada tahun hadapan. Filem ini mengisahkan daripada kisah benar tentang perjuangan tentera Malaysia semasa pentempuran di Somalia.
Umum mengetahui, pelakon ini juga cukup terkenal dalam membina badan ideal untuk menjayakan wataknya seperti Polis Evo. Pun begitu, dalam filem ini juga dia telah kembali untuk menurunkan berat badannya dengan watak sebagai tentera.
Walau bagaimanapun, ada desas desus yang mendakwa Shaheizy Sam telah menerima bayaran hampir RM500,000.
Memetik sumber, pelakon ini menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan bayaran yang diterimanya cukup memuaskan serta bersesuaian dengan usahanya. Shaheizy Sam atau lebih mesra dipanggil Sam ini mengatakan dia juga telah mengira aspek dari segi persediaan mental, fizikal dan bukan sahaja kualiti lakonannya.
“Saya tidak merasakan bayaran saya ini mahal cuma berdasarkan pengalaman berlakon sejak sekian lama dan usaha 110 peratus saya yang pihak produksi pun dah tahu, rasanya berbaloi dengan harga. Nak kata saya demand, tidaklah saya nak minta sampai RM500,000 untuk sebuah filem. Bagi saya, ia kena berbaloi dengan hasil kerja saya…”
“Bila pihak produksi perlukan saya untuk membina badan yang segak, ada kosnya untuk saya dapatkan bentuk badan sebegitu. Badan segak ini bukan hanya sekadar latihan di gim sahaja tetapi pemakanan juga kena jaga. Banyak aspek yang harus diambil kira. Wang tersebut bukan hanya untuk kerja kreatif sahaja tetapi turut merangkumi persediaan saya secara keseluruhan” katanya.
Menurut Sam, hal yang paling sukar ialah apabila dia berdepan dengan cabaran untuk menurunkan berat badannya setelah dua tahun berehat dalam dunia lakonan malah dia turut membandingkan proses dietnya sewaktu filem Polis Evo yang hanya mengambil masa 20 hari atau sebulan.
“Bila dua tahun berehat, asyik duduk rumah dan makan pun tak ingat dunia, saya terpaksa latih diri secara ‘all out’ sebaik sahaja saya tanda tangani kontrak dan diberikan skrip. Sejujurnya, bila hampir menjangkau usia 40-an ini, saya rasa usaha untuk mendapatkan badan segak ini dan jadi dua kali ganda..”
“Masa buat filem Polis Evo dulu, bagi saya masa 20 hari atau sebulan, semuanya akan selesai.. tapi kali ini agak sukar kerana mungkin metabolisme saya dah berubah. Kali ini nak turunkan berat badan tu, rasanya lambat sangat. Jadi, saya putuskan untuk kekalkan berat badan seperti ini kerana kalau naik lagi, saya tak tahu sama ada saya mampu turun lagi atau tidak” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, watak yang digalas Sam sebagai Kopral Ramlee ini telah memberikan kesan kepada dirinya apabila mengenangkan pengorbanan tentera Malaysia yang sanggup bertarung nyawa dalam memperjuangkan keamanan dunia.
“Sebelum ini, mungkin kita tak pernah tahu kisah sebenar yang terjadi kepada askar kita di Somalia pada tahun 1993. Kita hanya nampak kisahnya daripada filem Black Hawk Down. Orang Hollywood sudah tentu mahu menggambarkan mereka ini seperti hero sebenar. Bila saya letakkan diri saya dalam watak ini, saya sendiri tak dapat bayangkan macam mana kalau benar-benar saya berada disituasi itu…”
“Watak Kopral Ramlee ini merupakan watak sebenar yang difiksyenkan. Apa yang dilalui oleh Kopral Ramlee ini amat mengerikan. Beliau adalah antara perjuang yang hebat dalam misi ini,” ujarnya.