Connect with us

#MalaysiaBaru

Tidak Update Status di Aplikasi Mysejahtera Bukan Kesalahan

Bukan menjadi kesalahan apabila anda tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera!

Dalam satu kenyataan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap dan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

Ia adalah adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID19 Malaysia yang mana ianya tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguatkuasa.

Terdahulu, tular di laman media sosial video yang mengatakan wajib mengemaskini status kesihatan di aplikasi Mysejahtera.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 31 pekerja syarikat O&G dan kilang ayam dikompaun kerana tidak mengemaskini status kesihatan mereka di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Operasi berkenaan turut disertai penguat kuasa KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Rentetan daripada itu, pihak polis akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung untuk membatalkan kompaun yang dikeluarkan kepada 29 pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) di kawasan perindustrian Kampung Acheh, di sini.

Tindakan sama juga akan diambil untuk dua pekerja lain di sebuah kilang atas kesalahan sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kompaun dikeluarkan atas kesalahan gagal mengemaskini status kesihatan harian di aplikasi MySejahtera pada pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Sabtu lalu.

Menurutnya, semakan dengan Unit Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku kekeliruan terhadap kesalahan berkenaan.

“Pihak KKM mengesahkan bahawa pemilik aplikasi MySejahtera perlu mengemaskini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat serta disahkan positif Covid-19 saja.

“Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Manjung (Asisten Komisioner Nor Omar Sappi) akan merujuk PKD Manjung untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pembatalan kompaun itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak bimbang terhadap tahap penguatkuasaan dilakukan oleh polis dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memutuskan rantaian Covid-19 sekali gus memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Katanya, setiap tindakan yang diambil oleh polis akan dirujuk kembali kepada peraturan yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa.

“Polis Perak ingin menasihatkan orang ramai sentiasa bersabar dan memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terbabit sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

“Polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.