Seorang wanita membuktikan dirinya mampu bersaing setanding kaum lelaki dengan menceburi bidang yang lazimnya didominasi oleh kaum adam.
Nuratira Nordin, 25 tahun yang juga ibu kepada empat cahaya mata membuktikan beliau mampu menggalas tugas seorang pemandu bas seperti pemandu lelaki yang lain.
Aksi bersahaja Nuratira pandu bas curi perhatian ramai
Menerusi beberapa video di laman TikTok, aksi bersahaja wanita itu memandu bas ternyata mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, dia yang mesra disapa Atira mendedahkan mula menjadi pemandu bas sejak tiga tahun lalu.
Suami ada perniagaan sendiri dan buat pakej sewa bas
“Suami saya ada perniagaan sendiri, buat pakej sewa bas. Jadi bila suami dah ada bas sendiri, why not kita sendiri jadi pemandu”.
“Kali pertama bawa bas masa umur 22. Pada tahun itu juga saya ambil lesen. Selalu kalau bawa rombongan dengan bas, saya partner dengan suami”.
Kalau perjalanan jauh kami bergilir bawa bas
“Biasanya kalau perjalanan jauh, kami bergilir-gilir bawa bas,” ujarnya yang menetap di Melaka sewaktu dihubungi.
Menurut Atira, sepanjang tiga tahun berkecimpung serius, dia sudah membawa bas ke seluruh pelusuk Malaysia.
Kita kena yakin diri dan jangan dengar cakap orang
Berkongsi cerita mengenai hidupnya, Atira berkahwin seawal usia 16 tahun dengan Muhammad Hafis Ismail, 31, mengakui sering ditegur sepanjang mengendalikan bas mahupun van.
“Pada saya, kita kena yakin diri dan jangan dengar cakap orang”, jelas Atira.
Ada juga penumpang kurang yakin kerana dia seorang wanita
Jelasnya lagi, ada juga penumpang yang kurang yakin memandangkan dia seorang wanita yang mana hal itu dianggap sebagai satu perkara di luar kelaziman.
“Orang selalu tegur, ada yang takut nak naik dengan kita. Sebab selalunya lelaki bawa bas. Alhamdulillah setakat ini tiada lagi kejadian buruk berlaku”.
Ada yang tanya kenapa tak duduk rumah jaga anak
“Memang mencabar bawa bas sebab ia besar. Tambahan pula kita bawa nyawa orang. Ada juga yang persoalkan”.
“Mereka kata kenapa tak duduk rumah jaga anak? Kenapa perempuan bawa bas? Saya hanya pandang positif”.
Tak kisah bawa bas asalkan boleh jadi punca rezeki
“Dalam masa sama, ramai juga kaum hawa yang mesej. Ada yang teringin bawa bas tapi takut”.
“Sekarang zaman ekonomi teruk, cari je apa-apa kerja asalkan boleh jadi punca rezeki. Tak kisah bawa bas pun,” ujarnya lagi.
Tidak pernah mengambil lesen motosikal
Apa yang menarik mengenai dirinya, Atira mendedahkan dia memiliki lesen memandu kereta dan bas, namun tidak pernah mengambil lesen motosikal.
Namun katanya, dia boleh memandu motosikal tetapi tidak mengambil lesen kerana jarang menggunakan kenderaan ringan itu.
Menerusi perkongsian video di laman Instagram mStar, video tersebut berjaya meraih lebih dari 78, 000 tontonan setakat ini.
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata netizen turut kagum dengan keberanian Atira menembusi bidang pekerjaan yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ada diantara mereka turut memuji keberanian Atira dan keazaman yang ditunjukkan oleh wanita itu.
Semoga kisah ini menjadi contoh dan inspirasi kepada semua wanita diluar sana untuk lebih bersemangat berjaya dalam hidup.