Bagi kebanyakan manusia normal, pastinya melarikan diri apabila terjumpa buaya, namun berbeza bagi dua orang lelaki ini Matt Wright dan Tommy.
Menerusi satu video tular di Twitter, mereka berdua telah bertembung dengan seekor buaya dipercayai sepanjang kira-kira empat meter ketika sedang mengalihkan kayu balak di dalam anak sungai.
Video yang mendapat lebih 2 juta tontonan itu membuatkan orang ramai kagum dengan aksi kedua-dua lelaki berkenaan yang tidak takut, malah tenang ketika berhadapan pemangsa itu.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian, mereka ‘berkomunikasi’ dengan buaya itu seakan-akan ia adalah haiwan peliharaan yang tidak berbahaya.
“Kami tak boleh buat kerja, ia asyik mengekori kami.
“Jangan bergerak, duduk, duduk!
“Pergi, saya sedang sibuk,” katanya sambil beberapa kali menolak muncung buaya yang cuba mendekatinya ke dalam air.
Menerusi laporan The Guardian, Matt yang merupakan penyampai program televisyen, Outback Wrangler telah beberapa kali bertembung dengan buaya yang dikenali Bone Cruncher itu.
Lelaki yang telah biasa dengan kerja menangkap dan menguruskan buaya liar di Australia itu boleh dikatakan ‘selesa’ dengan buaya berkenaan.
“Ia buaya dengan keyakinan diri yang rendah. Ia duduk di tempat yang tiada buaya besar,” kata Matt seperti dilapor The Guardian.
Katanya, buaya tersebut pernah ditemui tujuh tahun lalu dan ia lebih mudah diancam selepas kehilangan satu mata dan sebahagian rahangnya.
“Kami faham ini bukan sikap biasa buaya air masin,” katanya.
“Saya telah bekerja dengan buaya lebih 20 tahun sekarang, ini kali pertama saya lihat kelakuan seperti ini,” katanya.
Namun begitu, Matt berpesan agar orang ramai lebih berhati-hati ketika bertembung dengan buaya.
“Nampak bagus untuk melihat hubungan seperti ini dengan buaya liar, tapi ingat, buaya air masin ialah buaya yang paling agresif di dunia dan menyebabkan banyak kematian,” katanya.