[VIDEO] Anugerah Bintang Popular ABPBH Tidak Termasuk Dalam Aktiviti Terlarang PKPB
Beberapa hari lepas, timbul isu mengenai pelaksanaan SOP PKPB di mana netizen menggesa kerajaan membatalkan acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberitahu sebarang acara langsung yang membabitkan industri kreatif tidak termasuk dalam aktiviti larangan di bawah SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada Mei lalu.
Menurutnya ia termasuk penganjuran acara Anugerah Bintang Popular Bintang Harian (ABPBH) yang dijadualkan berlangsung esok.
Sebelum ini beberapa individu dan juga organisasi telah bersuara mengenai isu ini termasuklan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang turut menyatakan pendirian agar pihak penganjur menangguhkan hasrat mereka untuk melangsungkan program ini.
PENGANJURAN PROGRAM ABPBH : DI MANA KEPRIHATINAN KITA?
1- DPPWP mengambil maklum mengenai hasrat dan keinginan penganjur untuk meneruskan acara tahunan mereka iaitu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kali ke 33.
2- Kami juga mengambil maklum berkaitan pengumuman pihak penganjur bahawa program tersebut tidak akan dihadiri oleh penonton dan kelab peminat, tetapi hanya akan dihadiri oleh sebilangan artis yang terbabit dan jawatankuasa acara.
3- Sehubungan dengan itu, kami menyeru agar semua umat Islam bermuhasabah kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan rahmat dan petunjuk terutama dalam menghadapi musibah Covid-19.
Kami mengambil pendirian supaya pihak penganjur menangguhkan hasrat mereka untuk melangsungkan program ini kerana memahami fasa genting yang dihadapi oleh Malaysia iaitu memerangi pandemik Covid-19.
4- Kami juga mengingatkan agar penganjur dapat merenungi Firman Allah SWT didalam Surah Al-An’aam ayat 43-44 :
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ * فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat yang dahulu, maka Kami uji mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka alangkah baiknya andai mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.”
5- Keputusan meneruskan program ini mengakibatkan program-program lain yang terbatal kerana PKPB akan menjadi suatu seruan baru untuk dianjurkan pula.
Kami juga tidak ingin acara ABPBH ini menjadi pemangkin kepada permintaan pembukaan semula pusat-pusat hiburan yang berjaya ditutup semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dan menjadi punca kepada permintaan program lain untuk dilaksanakan.
6- Akhirnya perlu difahami, pandemik Covid-19 ini bukan sekadar perlu diperangi dengan pematuhan SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi juga mestilah diperangi pada aspek rohani dengan mengamalkan hukum syariat yang betul.
Ia juga perlu dilalui dengan penuh muhasabah tatkala ramai yang terkesan daripada pandemik yang tidak tahu bila akan berakhir. Semoga Allah SWT terus memberikan kita taufik dan hidayah dalam menjadikan kehidupan kita diberkati dan dirahmati.
Kami menyeru seluruh umat Islam bersama kami dalam membantah program-program hiburan yang melalaikan dan tidak mendatangkan keuntungan kepada masyarakat.