Selebriti serba boleh, Zulin Aziz mengakui bentuk fizikal dan rupa paras kurang menarik menjadi punca dia putus cinta pada Oktober tahun lalu.
Rentetan daripada itu, Zulin mula nekad untuk menurunkan berat badan selain untuk memastikan kelangsungan kerjaya seninya.
Bekas teman lelaki mahu kembali
Menurut Zulin, penampilannya sekarang ini membuatkan bekas teman lelaki itu kembali menghubunginya.
Namun Zulin menyatakan dia tidak mahu untuk hidup di masa lalu.
“Saya tak suka hidup di masa lalu. Memang bekas teman lelaki ada menghubungi untuk kembali berbaik tapi ia tidak akan pernah berlaku kerana dia hanya sesuai berada di masa lalu saya saja.”
Malah, Zulin nekad untuk menurunkan berat badan disebabkan segala cacia dan kutukan yang dilemparkan kawan-kawan.
“Segala cacian dan kutukan yang pernah dilemparkan kepada kawan-kawan di belakang saya membuatkan saya bulat hati untuk turunkan berat badan demi kebaikan.
“Hubungan kami musnah sebab dia tidak ikhlas menerima diri saya seadanya biarpun di depan saya dia memberikan pelbagai janji manis,” katanya.
Ditanya mengenai gosip dia kini menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Ikhlas Jalil, Zulin berkata, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk mengenali hati budi seseorang dengan lebih mendalam.
“Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Kalau dulu mungkin saya terlalu memilih atau menyukai seseorang sedangkan dia tidak sesuai untuk kita, tapi sekarang ini saya lebih selesa berkawan dengan semua orang.
“Mengenai hubungan saya dengan Ikhlas kami hanya sekadar kawan. Kami mula bertegur sejak Ramadan lalu. Buat masa ini saya selesa berkawan dengan semua.
“Saya takut nak cakap lebih-lebih sebab soal jodoh ini rahsia Allah SWT. Tapi, saya selalu berdoa agar dikurniakan teman lelaki yang terbaik untuk saya selepas beberapa kali gagal dalam percintaan,” katanya.
Terbaru, menerusi perkongsian di laman Instagram, Zulin berkongsi video pendek yang menyentuh perasaan rakan-rakan artis dan pengikutnya.
“Mereka ketawakan kisah hidup saya. Mereka mempersendakan dan memperlekehkan tiap apa yang saya usaha.
“Sakit macam manapun saya sendiri cari penawarnya. Dengan kegagalan masa lalu membuatkan saya lebih bersemangat untuk bangkit dan mulakan hidup baru.”