Kekurangan yang ada pada diri bukanlah satu perkara yang boleh dijadikan alasan untuk tidak berjaya, malah ianya boleh menjadi satu pendorong semangat diri untuk lebih berusaha.
Bagi seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Fathurrahman Aiman Othman, 20, menganggap kekurangan pada dirinya itu satu cabaran hidup.
Amat membanggakan apabila Aiman yang menghidap Spinal Bifida dari Melaka ini diberi penghormatan dan dipilih sebagai penerima Anugerah Inspirasi sewaktu Majlis Konvokesyen Cosmopoint College ke-24, lapor Utusan Online.
https://www.facebook.com/UtusanOnline/videos/402772207019051/
Aiman menyatakan dia tidak pernah menganggap apa yang dialaminya sebagai satu halangan, malah ia adalah satu cabaran dan peluang untuknya bersaing dengan rakan-rakan dalam mengejar impian.
Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang pereka grafik profesional satu hari nanti.
Aiman yang mempunyai masalah untuk bergerak menggunakan papan selaju (skateboard) untuk pergi ke kelas belajar dan juga menghadiri majlis konvokesyen.
Baginya, sokongan daripada rakan-rakan dan juga pensyarah memberikannya kekuatan untuk menghadapi cabaran.
“Sokongan daripada mereka turut memberikan saya kekuatan mengharungi segala cabaran yang dihadapi,”
Aiman juga mengatakan dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang OKU.
“Saya tak pernah menganggap diri sebagai orang kurang upaya (OKU) sebaliknya menggunakan bakat dalam bidang lukisan dan kemahiran untuk merealisasikan impian belajar di kolej.”
Minatnya terhadap bidang lukisan sejak kecil lagi semakin terserlah sejak memasuki sekolah menengah.
Oleh sebab itu Aiman berusaha mencari pusat pengajian yang sesuai untuk mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang itu.
“Saya memang meminati bidang lukisan sejak berusia lima tahun, tetapi bakat itu mula terserlah ketika sekolah menengah.”
Aiman kini sedang menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari UNITAR International University, di Kolej Cosmopoint Melaka.
Di antara sumbangan Aiman dalam bidang seni lukis yang menjadi kebanggaannya adalah projek lukisan mural untuk Dewan Serambi Ilmu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.
Malah hasil seninya juga ada di lukisan mural di Studio Multimedia, Lounge Penuntut (Student Lounge) dan ruang permainan dalaman untuk rakan komuniti di KCM.
Semoga kisah Aiman ini menjadi inspirasi buat semua pembaca dan dijadikan contoh dalam menghadapi cabaran hidup.