Kita disarankan untuk sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling tambahan pula bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
Namun begitu, malang tidak berbau. Kadang-kala apa yang menimpa kita atau keluarga tidak pernah terfikir ia boleh terjadi.
Begitu juga dengan seorang pengguna Facebook yang bernama Nurull Diyanah yang berkongsi pengalaman apa yang menimpa anaknya, Muhammad Al-Fateh atau mesra dipanggil Fateh.
Besi cermin mata tertusuk kepala anaknya
Menerusi posting tersebut, kejadian tidak terduga itu berlaku pada waktu subuh dimana sudah menjadi kebiasaan apabila sebelum tidur, dia akan membuka dan meletakkan cermin matanya di tepi bantal.
Menurut ibu ini, pada pagi itu anaknya terjatuh dari katil dan besi cermin mata tersebut tertusuk di kepala anaknya.
Sedar-sedar spek dah ada atas kepala
“Macam manalah Fateh jatuh katil, sedar-sedar spek dah ada atas kepala,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, ibu ini pada mulanya cuba untuk menarik cermin mata itu tetapi tindakannya tidak berhasil.
Sejurus selepas itu, dia terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Paka, Terengganu.
Besi cermin mata tersebut tembus hingga ke tengkorak
Malah, dia tidak menyangka hal tersebut akan terjadi kerana cermin mata yang selalu dipakai tersebut mempunyai besi yang pendek sahaja.
Menurut doktor yang merawat Fateh, besi cermin mata telah tembus hingga ke dalam tengkorak kanak-kanak itu.
Fateh terpaksa menjalani pembedahan
Oleh kerana bimbang kecederaan Fateh bertambah teruk, anak sulung kepada pasangan Nurull Diyanah ini dinasihatkan untuk menjalani pembedahan.
Difahamkan, Fateh perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cermin mata itu dari kepalanya.
Keadaan Fateh bertambah baik
Semalam, Nurull Diyanah berkongsi sebuah lagi posting untuk memberi peringatan kepada oran ramai terutamanya ibu bapa supaya berhati-hati ketika menyimpan atau memilih jenis cermin mata agar kejadian yang menimpa anaknya itu tidak berulang lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut terkejut dengan apa yang menimpa adik Fateh.
Mereka turut menitipkan doa buat adik Fateh semoga cepat sembuh dan keluarga ini dipermudahkan urusan.
Semoga adik Fateh kembali sembuh seperti sediakala dan moga kisah ini menjadi contoh dan pengajaran kepada kita semua.