Pada 9 Ogos 2021 yang lalu, dunia industri hiburan Malaysia telah dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi terkenal iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Terbaru, menerusi posting di laman Instagram Shuib ada berkongsi video pendek memperlihatkan dirinya pergi menziarahi kubur isteri tercinta.
Genap 26 hari pemergian Allahyarham Siti Raissuddin
Pada tarikh 4 September 2021, genap 26 hari pemergian penyanyi terkenal iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Tak dapat dinafikan, pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam buat ahli keluarga malah seluruh rakyat Malaysia.
Boleh jumpa, cuma lain suasana
Berdasarkan video pendek yang dikongsikan di Instagram, memaparkan Shuib yang mengenakan baju melayu berwarna hitam telah pergi ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak untuk menziarahi kubur Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin.
Meskipun Shuib hanya menulis kapsyen yang ringkas, namun maksud ayat tersebut sangat menyentuh hati setiap pembaca.
Wajah sayu Shuib seakan menahan rindu
Dalam video tersebut juga dapat dilihat wajah sayu Shuib seakan menahan rindu terhadap isteri tercinta.
Pelawak ini juga sering berkongsi aktivitinya bersama-sama anak-anak selepas pemergian isteri tercinta.
Shuib harap belum terlambat mahu dalam ilmu Al-Quran
Sebelum ini, Shuib ada berkongsi mengenai dirinya yang mahu kembali mendalami ilmu al-Quran sebagai panduan di dunia dan akhirat.
Meskipun telah berusia 37 tahun Shuib Sepahtu berharap dia masih belum terlambat untuk memperbetul bacaan dan mendalami ilmu al-Quran.
Saya cuba baca Yasin sendiri ambil masa dekat dua jam nak habis
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, ujian yang menimpa dia sekeluarga dengan pemergian Siti Sarah membuatkan semakin dekat dengan agama.
“Hari pertama baca surah Yasin secara beramai-ramai, lepas sesi zoom tu saya cuba baca sendiri dan ambil masa dekat dua jam nak habis.”
Saya rasa macam ya Allah daifnya
“Saya rasa macam ya Allah daifnya, bodohnya kau Shuib. Sampai saya lenguh-lenguh pinggang.”
“Jadi saya cakap pada diri kena buat sesuatu, kena merdekakan diri daripada buta al-Quran,” katanya.
Shuib berkata demikian pada majlis forum bertajuk ‘Kemerdekaan Satu Penghijrahan’ anjuran Masjid Puncak Alam yang diadakan secara live di Facebook pada Rabu malam.
Saya tidak malu untuk belajar semula dari bawah
Forum sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 itu turut disertai pendakwah terkenal Haslin Baharim, Abdullah Khairi dan Johari Abdul Wahab.
Cerita Shuib lagi, dia tidak malu untuk belajar semula daripada bawah asalkan dapat memperbetulkan kelemahannya itu.
Saya nak belajar sampai cari semula buku iqra
“Saya nak belajar al-Quran sampai cari semula buku iqra. Saya nak kembalikan zaman kanak-kanak saya mengaji dan belajar iqra.
“Saya harap masih belum terlambat, saya kena buat u-turn. Saya kena betul-betul pandai baca al-Quran,” katanya lagi.
Ujar Shuib buat masa ini dia berguru bersama pendakwah Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Kalau bab nyanyi tahu pula saya nak menyanyi sedap-sedap
“Kalau boleh saya nak jadi macam ustaz Tarmizi. Dia guru saya ajar mengaji.”
“Ya Allah, sebab kalau bab nyanyian tahu pula saya nak menyanyi sedap-sedap. Buat Sepahtu Reunion tau pula menyanyi, mendayu-dayu.”
Kalau menyanyi rehearsal bagai nak rak tapi mengaji tak reti
“Kalau dulu menyanyi lagu duet dengan arwah isteri, buat rehearsal betul-betul bagai nak rak. Tapi apabila mengaji tak reti, rasa teruk sangat,” katanya.
Dalam pada itu Shuib berkata dia juga akan cuba mendidik anak-anak menjadi generasi yang celik al-Quran.
Saya harap boleh istiqamah dengan anak-anak
Shuib kini bergelar bapa tunggal kepada empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan.
“Saya harap boleh istiqamah dengan anak-anak (belajar al-Quran). Sebelum ni saya tak pernah cakap pun dengan anak-anak.”
Saya panggil anak-anak duduk depan saya
“Saya panggil mereka duduk depan saya. Saya tanya apa cita-cita mereka. Saya kata tak kisah apa pun cita-cita mereka asalkan pegangan kita ialah al-Quran.”
“Itu yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat,” katanya kepada mStar.
Allahyarham Siti Sarah meninggalkan 4 cahaya mata
Shuib kini bergelar bapa tunggal selepas isterinya Siti Sarah meninggal dunia pada usia 37 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Shuib dan arwah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dikeluarkan daripada kandungan secara pembedahan pada 6 Ogos lalu.