Cuaca tidak menentu beberapa hari ini menjejaskan beberapa kawasan apabila kediaman mereka ditenggelami air ekoran dari hujan yang berterusan sejak semalam.
Pelbagai video dikongsikan di media sosial mengenai kejadian ombak besar dan banjir yang menutupi sebahagian jalan yang menjadi penghubung ke kawasan-kawasan tertentu.
Sebanyak 5818 mangsa banjir di Johor
Antara negeri yang terjejas teruk adalah Johor apabila mencatatkan mangsa banjir sebanyak 5,818.
Difahamkan, mangsa-mangsa yang terlibat telah dipindahkan di beberapa daerah termasuk Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.
Motosikal yang ditunggang terbalik ke bahu jalan
Menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh Info Roadblock JPJ/Polis, seorang penunggang motosikal dipercayai di Kota Tinggi, Johor telah tergelincir dalam arus banjir.
Rakaman tersebut memaparkan bagaimana motosikal ditunggangnya terbalik ke bahu jalan.
Arus deras jadi punca kejadian
Keadaan itu dikatakan berpunca daripada arus deras yang memenuhi sebatang jalan dari Mawai menghala ke Tugu Udang.
Walaubagaimanapun, menurut sumber mangsa yang menaiki motosikal itu dilaporkan selamat.
Perakam bergegas menyelamatkan mangsa
Dalam rakaman video tersebut, ketika saat ke 26 video menjadi gelap dan kelam kabut dipercayai kerana perakam sedang membantu menyelamatkan mangsa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan perakam yang dipercayai bertindak terus membantu mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Semoga kita semua sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama ketika musim tengkujuh dan sentiasa memantau perkembangan terkini sebelum memulakan perjalanan.