Impian pelakon Fattah Amin dan isterinya Fazura bagi memiliki cahaya mata sulung dimakbulkan, tidak lama selepas memohon doa di Tanah Suci Makkah sewaktu mengerjakan ibadah umrah pada Disember lalu.
Fattah berkongsi perkara tersebut di laman Instagram sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-30 semalam dengan memuat naik video ketika menjadi tetamu Allah.
Pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin ini berkata, dia bersyukur apabila diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke sana sebelum berlaku penularan pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah kami di beri kesempatan untuk menjejaki bumi Allah Mekah sebelum pandemik covid melanda dunia.
“Antara doa yang kami mohon ialah semoga dikurniakan zuriat. Subhanallah… Allah Maha Besar. Sekembalinya dari tanah suci, Isteri saya hamil dan zuriat kami dikurniakan tepat pada masanya.”
Tambah pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, kini tinggal beberapa minggu sahaja lagi isterinya akan bersalin dan memohon doa orang ramai agar dipermudahkan urusan.
“Tinggal beberapa minggu lagi sebelum hadirnya #KirimanAgung dari Allah SWT buat kami… InshaAllah.
“Di kesempatan sempena hari lahir ini, saya bermohon doa dari kalian semua semoga semuanya di permudahkan Ilahi.”
Rata-rata peminat mengucapkan tahniah kepada kedua pasangan tersebut di atas kandungan yang bakal dilahirkan.
Sebelum ini, Fattah yang juga merupakan seorang penyanyi telah melancarkan lagu berkonsepkan ketuhanan.
Lagu tersebut berjudul Kiriman Agung sebagai hadiah untuk cahaya mata sulungnya yang bakal lahir tidak lama lagi.