Setiap pasangan yang berumah tangga pastinya mahu hubungan yang dibina berkekalan dan bahagia hingga ke hujung nyawa.
Namun begitu, tiada sesiapa yang mampu mengubah takdir yang tertulis. Perpisahan dalam rumah tangga mungkin antara jalan penyelesaian terbaik bagi kedua belah pihak.
Walaubagaimanapun, apa yang menjadi tanggungjawab tidak harus diabaikan kerana anak-anak masih memerlukan kasih sayang kedua ibu dan ayah.
Ditinggalkan bapa seawal usia setahun
Keretakan hubungan antara ibu dan ayah bukan penghalang kedua ibu bapa mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak-anak.
Ada perpisahan yang turut sama memutuskan hubungan yang sepatutnya masih terjalin erat seperti kisah seorang gadis yang mencuri perhatian ramai ini.
Perasaan rindukan kasih sayang bapa semakin kuat
Kisah hidup gadis ini yang berusia 17 tahun tular apabila ditinggalkan oleh bapanya sejak usia setahun selepas berpisah dengan ibunya.
Walaupun ayahnya sudah lama meninggalkan mereka, gadis ini mengakui saban hari perasaan rindukan kasih sayang seorang bapa semakin kuat.
Maafkan saya banyak menangis
“Maafkan saya terlalu banyak menangis,” tulisnya di kapsyen TikTok.
Menerusi laporan mStar, Nur Nashazleen Nabila Che Ramzul Zaman berkata sebelum mengambil keputusan untuk memuat naik video di aplikasi TikTok itu dia turut memikirkan kesannya.
Gadis yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak bertemu dengan bapanya sejak berusia setahun.
Berharap bapanya terbuka hati berjumpa dengannya
Gadis ini mengakui sejak kebelakangan ini dia sudah tidak mampu menahan rindu terhadap bapanya sehinggakan terpaksa meluahkan isi hatinya dengan harapan bapanya akan terbuka hati untuk berjumpa dengannya.
Perkongsian video yang dimuat naik oleh gadis ini di aplikasi TikTok mengenai imbas semula perbualannya bersama rakan telah meraih hampir 250,000 tontonan.
Bertahun saya pendam dan sangat rindu pada ayah saya
“Bertahun juga saya pendam untuk tidak mahu berkongsi keperitan dan kesedihan yang saya rasai secara umum tetapi saya manusia biasa sampai satu tahap saya tak mampu untuk menahan lagi.”
“Saya rindu sangat pada ayah saya. Saya dah tak larat nak menangis.”
Saya tersentuh tengok kebahagiaan kawan bersama ayah mereka
“Setiap kali kawan tanya tentang kehadiran ayah atau saya tengok kebahagiaan kawan bersama ayah mereka, saya rasa tersentuh sangat.”
“Sebelum saya muat naik memang saya dah fikir komen negatif ataupun takut ayah marah tetapi saya rasa itu sahaja cara yang ada.”
Mana tahu satu hari nanti ayah datang jumpa saya
“Mana tahu terbuka hati satu hari nanti dia datang jumpa saya. Apa yang saya buat ini semua ibu saya tahu.”
“Ibu banyak beri kata-kata semangat pada saya walaupun dia tak pernah kata setuju ataupun tidak dengan tindakan saya ini,” ujarnya.
Gadis ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu mereka
Gadis yang menetap di Kuantan, Pahang ini memberitahu sejak kecil dia bersama dua abangnya dibesarkan oleh ibu mereka dengan penuh kasih sayang dan kehidupan yang serba mencukupi.
Dia yang lebih mesra disapa Aileen, katanya, kedua-dua abangnya iaitu Che Nazurin Haikal, 20 dan Che Nazrul Hakim, 19 jarang menunjukkan rasa sedih dengan ketiadaan bapa mungkin kerana mereka lelaki dan telah menerimanya dengan rela hati.
Ibu banyak berkorban besarkan kami tiga beradik
“Dari kecil, ibu banyak berkorban dalam membesarkan kami tiga beradik. Ayah saya dah kahwin lain dan tak silap saya ada dua anak perempuan.”
“Ada juga kadang saya tengok media sosial ayah. Nampak bahagia sangat dengan keluarga baharu. Alhamdulillah. Saya pun gembira tetapi janganlah lupa kami di sini,” katanya.
Saya hantar mesej tetapi ayah seen sahaja
Aileen turut berkongsi kejadian sehari sebelum sambutan hari lahirnya yang ke-17 minggu lalu sememangnya menyentuh hati Aileen..
“Cerita betul, saya ada hantar mesej kepada ayah sehari sebelum hari jadi. Tetapi ayah saya ‘seen’ sahaja.”
Ayah muat naik status sambut hari jadi dengan anak tirinya
“Saya pun fikir yang baik saja mungkin dia sibuk tetapi beberapa hari lepas tu ayah saya muat naik gambar di WhatsApp status sambut hari jadi dengan anak tirinya. Sedih rasa hati ini,” ujarnya lagi.
Ibu Aileen yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Hedayu, 38, enggan memberi sebarang komen, namun dia berdoa agar hajat anaknya untuk bertemu bapanya tercapai.
Aileen turut berkongsi video berkenaan dirinya di aplikasi TikTok berkenaan kisah hidupnya. Video tersebut turut tular dan mendapat hampir satu juta tontonan.
Saya tidak harap wang saya hanya dahagakan kasih sayang bapa
Difahamkan, dari kecil sehingga sekarang ibu tunggal ini membesarkan tiga anaknya dengan bekerja sebagai jurujual kereta di Kuantan.
Tambah Aileen, dia tidak mengharapkan wang bapanya tetapi lebih kepada mahu melepaskan rindu dan dahagakan kasih sayangnya sahaja.
“Tahun ini InsyaAllah saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya harap sangat dapat berjumpa ayah untuk dapat keberkatan,” katanya.
Semoga impian adik Aileen untuk berjumpa dengan bapanya tertunai. Moga kisah ini menjadi contoh dan pengajaran kepada kita semua.