[VIDEO] “Hilang tempat bergantung” Luahan Isteri Mangsa Pemandu Mabuk
Hati isteri mana tidak remuk apabila ketua keluarga yang bersusah payah mencari rezeki tiba-tiba meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan. Zahlawati Zahlan, 47 isteri kepada allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44 yang meninggal dunia serta merta apabila dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk kira-kira jam 1.30 pagi. Menerusi Harian Metro, Zahlawati […]
Isteri mana yang mampu menahan kesedihan apabila suami yang bersusah payah mencari rezeki tiba-tiba ‘pergi’ dijemput Ilahi dalam keadaan yang mengejutkan.
Itulah yang dirasakan oleh Zahlawati Zahlan, 47, isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44 yang meninggal dunia serta merta apabila dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk kira-kira jam 1.30 pagi.
Zahlawati memaklumkan dia tidak akan memaafkan pemandu itu kerana sudah hilang tempat bergantung hanya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut, lapor Harian Metro.
“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah.”
Tambahnya lagi, suaminya melakukan pelbagai pekerjaan sambilan demi untuk menanggung keluarga terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
“Arwah buat pelbagai kerja termasuk menghantar makanan yang ditempah pelanggan melalui perniagaan kecil-kecilan saya.
“Kini saya hilang arah dan punca. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan anak bersama saya berusia 6 tahun.”
Zahlawati turut meminta agar kerajaan mempercepat pindaan hukuman berat terhadap pemandu mabuk ini kerana khuatir akan lebih ramai yang menjadi mangsa.
“Undang-undang perlu diperketatkan, suami saya menjadi mangsa, malah bulan ini saja berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa?
“Kini saya sudah hilang orang tersayang yang mencari rezeki untuk keluarga. Tindakan perlu diambil dengan segera.”
Kejadian yang berlaku pada 1.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohamed Zaili Mohamed disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.
Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya
Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh.