[VIDEO] Kurniaan Ilahi, Anak Autisme Ini Hafal 30 Juzuk Al-Quran Pada Usia 8 Tahun
Walaupun sudah berusia 11 tahun, Ammar Qayyim masih memakai lampin pakai buang dan menyusu botol ketika tidur malam.
Dari segi fizikalnya dia nampak normal, tetapi Ammar yang disahkan autisme ini berperangai macam kanak-kanak empat tahun ke belakang.
Ini termasuk komunikasinya kurang, kosa kata tidak banyak selain tidak boleh proses atau memahami apa orang tanya.
Walaubagaimanapun, apa yang sangat membanggakan adalah anak bongsu daripada dua beradik ini mempunyai kelebihan istimewa yang dikurniakan Allah apabila dia mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran pada ketika umurnya baru 8 tahun, lapor Harian Metro.
Ibunya Saadiah Saad memberitahu meskipun berusia 11 tahun anaknya berkelakuan seperti kanak-kanak sekolah tadika.
“Kalau perasan tingkah lakunya tidak sama macam umurnya. Sepatutnya umur 11 tahun rancak bercerita dan bercakap, tetapi dia macam kanak-kanak sekolah tadika.”
Dia dan suaminya Nazeri pernah menghantar untuk pemeriksaan pakar di hospital dan disahkan menghidapi autisme ringan.
“Pada peringkat permulaan doktor tidak boleh diagnosis masalahnya melainkan menganggap masalah dialaminya sebagai perkembangan lewat, tetapi makin meningkat umurnya barulah doktor sahkan dia ada autisme ringan.”
Namun mereka redha dengan ketentuan Ilahi dan positif mungkin Allah pilih Ammar sebagai anak syurga.
“Secara peribadi, pada mulanya sukar untuk saya terima, ibu bapa mana yang tidak terasa apatah lagi ini kali pertama terjadi dalam keluarga kami, tetapi hidup perlu diteruskan.
“Kami positif mungkin Allah sudah pilih ada anak syurga macam ini. Saya selalu berdoa bila al-Quran sentiasa berdamping dengannya, semoga Allah sentiasa menjaga dirinya,”
Menurut Nazeri, dia mula mengesan kebolehan Ammar Qayyim untuk menghafaz selepas pakar sebuah pusat rehabilitasi mengesan kecenderungan dan mengesyorkan belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.
Dia memberitahu, ketika anaknya baru seminggu belajar di ADH, ramai ustaz yang kagum dengan Ammar.
“Seminggu dia belajar di ADH, ramai ustaz kagum dengannya kerana boleh menghafaz al-Quran pada usia baru mencecah tujuh tahun ketika itu.”
Malah ketika mereka menguji hafazannya, Ammar Qayyim mampu menyambung ayat seterusnya dan boleh meneka surah apa dan ayat ke berapa dengan tepat.
Nazeri juga sempat memberi nasihat kepada semua ibu bapa di luar sana yang memiliki anak istimewa supaya jangan cepat putus asa.
Sebaliknya Nazeri berpesan unutk kenali dan menyokong kecenderungan anak hingga berjaya walau dalam apa jua bidang.