Bukanlah suatu perkara mudah apabila terpisah dengan orang tersayang apatah lagi sekiranya dalam jangka waktu yang sangat lama sehingga berbulan-bulan.
Kerinduan yang terpaksa ditanggung pastinya membuatkan jiwa meronta-ronta mahu bertemu melepaskan rindu.
Begitulah yang dirasakan oleh keluarga ini yang nekad bertemu di sempadan antara Malaysia dan Singapura biarpun dalam jarak jauh beberapa hari lepas.
Pasangan suami isteri dikenali sebagai Muhamad Faiz dan Shafikah Sarip ini telah terpisah hampir lapan bulan akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Walaupun tak dapat bertemu, pasangan tersebut hanya mampu melepaskan kerinduan dari seberang laut.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam laman Facebook Faiz, dia membuat panggilan video dari Wooddlands Waterfront Park di Singapura.
Faiz kemudiannya bertanya “mana awak?” dan dibalas oleh isterinya “saya kat sini, pakai baju hitam putih. Nampak tak?” sebelum melambaikan tangan kepada wanita itu.
Dalam masa yang sama, menerusi video yang dimuat naik oleh Shafikah pula menunjukkan dua orang anaknya keriangan melihat bapa mereka melambaikan tangan dari seberang laut.
Malah, Shafikah turut membawa teropong untuk melihat kehadiran suaminya itu dengan lebih jelas lagi.
“201day, We miss you abg Mohd Izwan Sarip Tq sygg Muhamad Faiz FS bawak abg Harini bawak anak2 da sil Liana Idris’
“Tgk abg pulak dari jauh cuma harini siap bawak teropong tgk abg dgn suami dari jauh..”
Terdahulu, sempadan Malaysia dan Singapura ditutup bagi mengekang penularan virus Covid-19.
Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kembali dibuka kepada rakyat kedua negara untuk merentas sempadan, sejak 17 Ogos lalu.
Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,060 rakyat kedua negara dibenarkan merentas sempadan kedua negara setiap hari menerusi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).