Seorang lelaki didakwa menikahi dua wanita serentak dalam satu majlis persandingan di bandar Bangkalan, Madura, Indonesia kelmarin, lapor laman berita Serambi News.
Sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Instagram menunjukkan seorang lelaki diapit dua wanita ketika berada di atas pelamin.
Seorang pengguna Instagram, Ichal Doank berkata, pernikahan tersebut sebenarnya adalah antara pengantin lelaki, Karror Abdullah Schal dengan isteri keduanya sambil ditemani isteri pertama, Nyai Hj Qonita Ari Aghni.
“Sebenarnya, majlis itu adalah untuk meraikan pernikahan antara pengantin lelaki, Karror dengan isteri keduanya di Pondok Pesantren Mambaus Salam.
“Bagaimanapun, isteri pertamanya, Nyai Hj Qonita Ari Aghni diminta untuk turut bersanding bersama mereka,” katanya kepada Serambi News.
Selain itu, Ichal memberitahu, perkahwinan antara Karror yang merupakan seorang kiai tersebut diadakan selepas disuruh isteri pertamanya.
“Isteri pertama Karror sendiri yang menyuruhnya berkahwin untuk kali kedua kerana selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga, mereka masih belum dikurniakan anak,” ujarnya.