Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah kisah yang menyayat hati ini apabila mengetahui tubuh yang sedang kaku itu adalah insan yang tersayang.
Betapa luluh hati seorang lelaki ketika terpandang tubuh yang terbujur kaku dalam kemalangan yang kebetulan disaksikannya dalam hujan lebat rupanya adalah mayat isteri sendiri.
Peluk tubuh kaku isteri diiringi hujan lebat
Difahamkan, lokasi kejadian kecelakaan jalan raya itu adalah di Jalan Sungai Ular, Kulim, Kedah.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, suami mangsa yang kebetulan lalu di tempat kejadian terus meluru ke arah mayat Nur Almass Zasmi, 23, lalu memeluknya sambil menangis dengan diiringi hujan lebat, ketika itu.
Mangsa merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, mangsa merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu.
Mangsa bekerja sebagai operator kilang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah treler.
“Melalui siasatan awal, kita mendapati mangsa dari arah Serdang ke Sungai Ular, manakala pemandu treler dari arah Sungai Ular ke Serdang” lapor Sinar Harian.
Motosikal ditunggang wanita itu dipercayai hilang kawalan
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang wanita tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke bawah treler sebelum digilis tayar belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, pasangan yang masing-masing merupakan OKU bisu itu bernikah pada 8 Disember 2018 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang baru sahaja berusia tujuh bulan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.