Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muar Johor, Amierul telah menjadi wali dan menikahkan dua orang kakak kesayangannya dalam dua majlis berbeza bulan September yang lalu.
Dengan hanya berumur 14 tahun, namun tanggungjawab sebagai anak tunggal lelaki menjadikan Muhammad Amierul Adlie Basiran lebih matang dari usianya.
Amierul yang merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarganya terpaksa menggalas tanggungjawab itu selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser pada bulan Ogos yang lalu.
Menurut sepupu yang rapat dengannya, Mohd Syukri Madnor, itu merupakan pertama kali dalam hidupnya melihat remaja berusia 14 tahun mengijabkabulkan dua lelaki yang kini sah menjadi abang iparnya.
“Sebelum itu kami memang rancang untuk wakilkan kepada jurunikah, tetapi selepas berbincang dengan semua keluarga dan Amierul, akhirnya dia menjadi wali. Malah Amierul sendiri yakin memberitahu mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dalam keluarga.
“Sebagai salah seorang keluarga rapatnya, saya amat berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu,” jelas Syukri.
Tambah Syukri, Amierul telah menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya, Nur Aina Nabihah Basiran pada 22 September dan sekali lagi pada 29 September untuk kakak keduanya, Nur Amirah Basiran di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.
“Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik.
“Perjalanan majlis bertambah baik. Dia semakin matang dan rata-rata tetamu yang hadir turut terpegun dengan sikap dewasanya itu,” katanya.
Ibu remaja berkenaan, Rosiah Othman menyatakan rasa gembiranya dengan sikap Amierul yang sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga.
“Saya dalam tempoh edah dan tidak berada di kedua-dua majlis. Tetapi saya tahu, Amierul telah melaksanakan amanat bapanya dengan baik. Sebelum ini juga, dia turut memandi dan sembahyangkan jenazah bapanya.
“Saya tanya juga kepada dia sama ada betul atau tidak dengan keputusan untuk mewalikan kakak-kakaknya itu, dan dia dengan yakin jawab ‘ya betul’.
“Sebagai ibu, walaupun usianya masih muda, saya amat bersyukur dengan jiwanya yang besar itu,” ujar Rosiah.
Video Amierul Menjadi Wali Nikah
Sumber: Says