Gadis ini dahulu pernah tular di media sosial kerana menjadikan tong gas seberat 16.6 kilogram sebagai ‘teman’ sehingga digelar Gadis Tong Gas, lapor mStar.
Namun videonya bersenam menggunakan tong gas kini kembali tular di media sosial, sehingga menjadi bualan dan kritikan netizen.
Nor Syarmimi Sallehudin, 26, berkata, tong gas masih lagi menjadi ‘peneman’ tetapi aktiviti itu berkurangan sejak berkahwin pada September tahun lalu, selain sibuk dalam pelbagai program kesihatan dan kecergasan.
Coach Mimi dan tong gas tidak dapat dipisahkan.
Jurulatih kecergasan kelahiran Bachok, Kelantan ini memberitahu, dia kini memberi tumpuan kepada ketahanan badan menerusi latihan bebanan.
“Kalau dulu, ramai wanita di Kelantan agak skeptikal pasal latihan bebanan ini sebab mereka bimbang badan akan menjadi berotot atau sado seperti lelaki yang mengangkat berat di gim.
“Tapi, sebenarnya latihan ini membantu untuk mereka lebih sihat dan kurus, selain mendapatkan bentuk badan lebih menarik,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Antara latihan bebanan dalam program kecergasan dikendalikan Coach Mimi.
Nor Syarmimi atau lebih dikenali sebagai Coach Mimi berkata, latihan kecergasannya hanya memberi tumpuan kepada peserta-peserta wanita.
Malah, anak ketujuh daripada lapan beradik ini memberitahu, kira-kira 70 peratus pesertanya terdiri daripada golongan isteri dan ibu.
“Selepas lima tahun saya memberi kesedaran, lama-kelamaan mereka mula menerimanya bila mendapat bentuk badan yang diidamkan.
“Dada mereka menjadi mantap dan pinggul semakin montok. Lebih-lebih lagi bagi yang baru melahirkan anak, banyak bahagian yang dah ‘jatuh’, bila masuk latihan ni kesannya itu ini dah ‘naik’ semula, mereka dapat badan ‘meletop’ macam anak dara,” katanya.
Menurut Coach Mimi, suami kepada peserta-pesertanya turut memberikan respons positif mengenai bentuk badan isteri mereka sehinggakan aktiviti kecergasan yang disertai sebelum itu bertukar menjadi sebahagian gaya hidup.
“Kalau dulu suami-suami mereka risau dengan latihan squat dan lunges hanya akan menyebabkan punggung isteri menjadi lebih besar, tetapi sebaliknya ia menjadi montok dan ‘terletak’,” katanya yang juga dikenali kerana bersenam menggunakan tayar lori.
Mengenai senaman tong gas, dia masih mempraktikannya untuk ketahanan badan dan menambah bahawa ia hanya sesuai dilakukan bagi mereka yang berpengalaman, mengetahui asas dan teknik latihan serta mempunyai postur badan yang betul.
Aksi mengangkat tong gas pada majlis perkahwinannya, September tahun lalu.
Setakat ini, Coach Mimi berkata, peserta-peserta programnya menggunakan bar untuk latihan bebanan memandangkan tong gas sukar untuk dipegang semasa berlatih.
“Bila dah tahu asas dan teknik, selepas guna dumbbell dan bar, barulah mereka boleh guna tong gas atau apa-apa peralatan yang selamat dan sesuai. Nak guna anak pun boleh sebab senang nak peluk atau pegang.
“Sekarang ni dah ramai peserta program saya yang dah berpengalaman, jadi saya ada perancangan untuk menggunakan tong gas dalam sesi latihan, tetapi ia akan diubah suai terlebih dahulu supaya mudah untuk dipegang,” katanya.