Seorang nenek berusia 51 tahun di Amerika Syarikat melahirkan cucunya sendiri selepas menjadi ibu tumpang untuk anak perempuannya, lapor laman berita Mirror UK.
Berasal dari bandar raya Chicago di negeri Illinois, Julie Loving selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 2 November lalu.
Perjalanan kehamilan tersebut dikongsi anaknya, Breanna Lockwood, 29, di laman Instagram.
Breanna berkata, ibunya menawarkan diri untuk menjadi ibu tumpang selepas dia dikatakan sukar hamil kerana mengalami masalah kesihatan.
“Ibu saya adalah seorang yang sangat hebat. Dia mengharungi proses bersalin yang agak mencabar.
“Pengorbanan yang dia lakukan untuk melahirkan anak saya ke dunia ini tidak dapat saya luahkan dengan kata-kata,” ujarnya.
Tambah Breanna, dia pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali termasuk semasa mengandungkan bayi kembar.
Menurutnya, dia dan suami pernah bercadang untuk melakukan rawatan kehamilan IVF, namun doktor yang merawat mereka mencadangkan supaya mengambil ibu tumpang.
Sementara itu, Julie berkata, dia teringin menimang cucu dan pada masa sama, mahu membantu anaknya mendapatkan anak.
“Sebenarnya saya yang mula mencadangkan kepada Breanna untuk menjadi ibu tumpang kepadanya, tetapi dia menolak dan menganggap ia tidak masuk akal.
“Bagaimanapun, saya terus memujuknya hingga dia bersetuju,” kata wanita aktif itu yang pernah mengikuti 19 larian maraton.