Penceraian merupakan hal yang paling ditakuti oleh pasangan yang telah mendirikan rumah tangga.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin pasti ada pasang surutnya kerana ia adalah ujian sesebuah perkahwinan,namun jika hubungan itu sudah tidak boleh didamaikan lagi maka gugurlah talak.
Jatuhnya talak membawa maksud terlepaslah ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya.
Ia merupakan suatu jalan penyelesaian yang terakhir sekiranya suami dan isteri tidak dapat hidup bersama untuk mencari kata sepakat serta mencari kebahagiaan hidup.
Namun luar biasanya bagi pasangan muda ini kerana Tuhan telah menjentikkan hati mereka untuk berdamai ketika mereka berdua sudah berada di mahkamah atas urusan penceraian mereka.
Menurut perkongsian wanita yang dikenali sebagai Ruby itu berkata, semasa sedang menunggu kedatangan Hakim di mahkamah syariah itu, dia dan suaminya duduk bersebelahan tetapi dengan jarak satu kerusi.
Tambah wanita itu, sambil menunggu dengan perasaan yang berat dan berserah pada Allah, dia sempat membuat video kononnya sebagai momen terakhir sebelum mereka berpisah.
Namun dengan sengaja, dia telah menyapa suaminya itu dengan memijak kasut dan bertanya khabar serta mengambil gambar bersama.
Hal itu telah menyebabkan mereka berdua berbual dan berbincang tentang perpisahan itu malah mereka saling berpegangan tangan serta memberi kata semangat untuk meneruskan haluan masing-masing.
Tidak disangka sebaik sahaja masuk ke ruangan mahkamah, perancangan mengakhiri perkahwinan itu akhirnya terbatal dan mereka sepakat untuk meneruskan perkahwinan bahkan Ketua Hakim itu juga melihat pasangan itu masuk bersama, sangat serasi dan masih muda untuk berpisah.
Menurut Ruby, mungkin kerana mereka masih muda Allah telah membolak-balikkan hati mereka dengan ujian ini namun dia bersyukur kerana perkahwinan mereka masih berpanjangan.
Dia juga merasa bahawa itu adalah pengajaran buat mereka berdua dan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku antara mereka suami isteri.
“Entahlah kami sepakat teruskan rumah tangga ni dengan membatalkan kes penceraian ini.
“Allah masih baik dengan aku. Sebaik-baiknya Allah telah membolak-balikkan hati umatnya” kata Ruby.
Netizen yang melihat perkongsian Ruby itu turut terharu dengan apa yang berlaku tidak lupa juga ramai yang mendoakan kebahagian dan kesejahteraan rumah tangga mereka agar kekal teguh.
Video tular di laman Tiktok