Sedih hati seorang pengantin perempuan yang kecewa apabila ditipu oleh katerer kerana menyediakan kek yang diperbuat daripada polisterin pada hari bahagia wanita tersebut, lapor Dailymail.
Shine Tamayo, 26, dan pasangannya Jhon Chen, 40, telah membayar 40,000 pesos (RM3,149) kepada seorang perancang perkahwinan untuk menyediakan makanan dan dekorasi di sebuah majlis resepsi yang diadakan di Pasig, Filipina.
Bagaimanapun, selepas selesai majlis di gereja, mereka mendapati bukan sahaja makanan tidak disediakan kepada para tetamu, malahan kek dua tingkat yang ditempah juga palsu.
Pengantin baharu tersebut terpaksa membeli mi, nasi dan makanan lain di sebuah restoran berhampiran untuk dihidangkan kepada tetamu pada majlis resepsi yang diadakan di sebuah hotel itu.
Pengantin perempuan tersebut sudah pun keletihan dan kecewa kerana terpaksa menyediakan makanan jalanan dan air anggur kepada tetamunya, tetapi apa yang berlaku kemudian adalah lebih mengejutkan.
Pengantin perempuan menangis melihat kek kahwin yang disediakan.
Dia baru hendak memotong kek itu dan majlis perkahwinannya menjadi bertambah teruk.
Kek lapisan bawah diperbuat daripada polisterin dan ditutupi dengan aising di bahagian luarnya.
Pengantin perempuan itu menutup wajahnya kerana sangat malu dan menangis teresak-esak di depan keluarga serta rakan-rakan.
Video:
https://www.youtube.com/watch?v=c1YMBD2MYII
Dia menjadi tidak keruan sehingga para tetamu membawanya dan katerer tersebut ke balai polis berdekatan.
Shine berkata: “Wanita yang kami upah untuk menyediakan makanan telah merosakkan majlis perkahwinan saya.
“Dia penipu. Dia selalu meminta wang dan saya sentiasa memberikan apa yang dia perlukan kerana saya mahu majlis perkahwinan saya sempurna.
“Saya tidak akan terima permohonan maaf daripadanya, ia tidak mencukupi. Dia patut dipenjarakan.
Hanya kek di bahagian atas yang boleh dimakan.
“Saya tidak pernah berasa sangat malu seperti ini seumur hidup saya.
“Ia sepatutnya menjadi memori indah, tapi sebaliknya yang berlaku,” ujarnya.
Pegawai di Balai Polis Pasig City mengesahkan bahawa katerer, Cananea telah ditangkap kerana disyaki melakukan penipuan dan sudah dibebaskan.
Seorang jurucakap berkata: “Siasatan ke atas penipuan perkahwinan sedang dijalankan. Pengantin perempuan itu sangat tertekan.
“Kami mengesahkan bahawa sejumlah besar wang telah dibayar untuk perkhidmatan yang tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Pembekal, Cik Krissa Cananea, telah disoal siasat dan kami berhasrat untuk membawa kes itu ke mahkamah.”