Selebriti popular, Ayda Jebat telah berkongsi sepotong video lama ketika di awal penglibatannya dalam dunia seni.
Mungkin ramai peminat yang masih tidak tahu bahawa bintang asal Melaka ini pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9).
Walau bagaimanapun, Ayda tidak berjaya lolos ke peringkat seterusnya kerana tersingkir pada fasa awal program AF9.
Menerusi laman Instagram miliknya, Ayda mendedahkan video persembahan semasa Akademi Fantasia dan menjelaskan bagaimana dia boleh terkeluar pada peringkat awal.
“Okay sebab dekat twitter ramai tanya ‘Betul ke Ayda Jebat dari AF?’ ‘Awal sangat ke dia terkeluar sebab taktau pun dia masuk AF?
“Yes. Akademi Fantasia 9, tahun 2011. Dikeluarkan dari AF9 sebab perform macam baru keluar dari toilet, biasa biasa, tah pape.
“Dulu bila keluar lagu Menuju Puncak, confirm rasa nak terkencing, takut terkeluar. Tapi ternyata apa yang Allah atur tu tepat. Yang pasti buat kamu pasti untuk kamu. Jangan berhenti usaha.
“Biar terkeluar dan kalah awal, Dari bawah kita belajar dan kekal, Tanpa disangkal. Love, AJ,”
Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat merupakan seorang penyanyi dan pelakon wanita.
Ayda mula dikenali ramai menerusi drama Rindu Awak 200% dan di antara filemnya termasuk Gila-Gila Remaja 2 (2013) dan Pinjam Hatiku (2017).
Ayda menempa kejayaan terbesarnya pada tahun 2014 apabila membawakan watak Armel Aisya dalam drama adaptasi novel Rindu Awak 200% bersama Zul Ariffin.
Drama itu kemudiannya menjadi rancangan televisyen Malaysia yang diiktiraf secara kritis sekaligus melonjakkan nama beliau ke puncak populariti dan melayakkan beliau memenangi Artis Baharu MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era.