Ahli perniagaan terkenal, Datin Vivy Yusof menafikan telah mengeluarkan kenyataan mempertikaikan langkah kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 dan M40 seperti tular dalam media sosial.
Vivy tampil memberi penjelasan menerusi video di laman Instagram dan mendakwa tidak pernah terfikir mengeluarkan kenyataan seperti itu, malah tidak menyangka masyarakat mempercayainya.
Tidak mempertikaikan kerajaan
Menurutnya perkara tersebut mula timbul dalam satu siaran langsung Facebook.
“Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya. Saya tiada akaun FB, tetapi saya menonton ‘live’ itu.”
Vivy memberitahu, dia tidak mempertikaikan bantuan kerajaan kepada mana-mana pihak.
“Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.”
Malah, Vivy turut menafikan ada mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan golongan B40 dan M40 tidak meyumbang kepada ekonomi negara.
“Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu,”
Mohon maaf
Menerusi video berdurasi 7 minit 41 saat itu juga Vivy memohon maaf secara terbuka kepada netizen dan golongan B40.
Vivy berkata, tohmahan dilemparkan terhadapnya melampau, sejak tiga hari lalu.
“Ibu bapa dan suami terkesan dengan kecaman netizen. Ia amat berat untuk ditanggung kerana dikecam pada peringkat nasional.”
Bakal ambil tindakan undang-undang
Vivy juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataannya dan juga yang melancarkan petisyen letak jawatan.
“Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM),”
Tidak pandang rendah
Menurut Vivy lagi, dia tak pernah memandang rendah kepada golongan B40 dan M40 seperti didakwa.
“Saya tak akan ambil peduli atau menghulurkan bantuan sekiranya memandang rendah kepada golongan ini. Saya juga tidak akan mewujudkan tabung untuk mereka.
“Saya risau dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.
“Saya banyak bermuhasabah sepanjang tiga hari ini. Saya akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,”
Pengajaran terbesar
Vivy juga berkata, insiden tersebut telah menjadi pengajaran terbesar buat dirinya.
“Cuma agak kecewa kerana netizen mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di laman Twitter. Tak pasal mereka mengutip dosa.
“Saya pernah melakukan perkara sama apabila tidak memeriksa fakta sebelum berkongsi di laman sosial. Sejak itu, saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Walaupun dihentam teruk di media sosial, Vivy berkata dia akan bangkit dengan semangat baharu.
Vivy juga percaya banyak pihak masih mempercayai dan memberikan semangat buat dirinya.