Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan kelonggaran merentas sempadan negeri untuk pasangan suami atau isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.
Kelonggaran kepada pasangan suami isteri
Menerusi perutusan khas sebentar tadi, kelonggaran diberikan untuk pasangan suami atau isteri untuk bertemu dengan keluarga.
Ini merujuk kepada mereka yang masing-masing berpisah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
“Misalnya suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan merentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak jumpa anak dan isteri selama lebih dua bulan”.
Kelonggaran bagi tujuan berjumpa keluarga
“Jadi kita diberikan kelonggaran pada pasangan suami atau isteri ke untuk melakukan perjalanan merentas negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga”.
“Bagi Sabah dan Sarawak, saya mohon kerajaan negeri beri kelonggaran sama,” katanya.
Memetik laporan Astro awani pula, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB), selama empat minggu lagi, iaitu sehingga 9 Jun, 2020.
SOP PKPB kekal hingga 9 Jun 2020
Perdana Menteri berkata, dari segi pandangan umum, beliau dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.
“Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020″.
“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya lagi.
Larangan pergerakan dalam negeri masih berkuat kuasa dalam tempoh ini
“Dalam tempoh lanjutan PKPB ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai”.
“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini”.
Perjalanan balik kampung rentas negeri tidak dibenarkan
“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua”.
“Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan”.
“Bersabarlah, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” katanya pada perutusan khas, hari ini.
Tahniah kepada petugas barisan hadapan
Selain itu, Perdana Menteri beliau menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan.
Mereka yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak COVID 19.
Terima kasih seluruh rakyat Malaysia
Malah, beliau juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.
Seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan menangani krisis ini.
“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau,” katanya lagi
Semoga segala yang kita praktikkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan mampu menyekat penularan Covid-19 dan negara kembali sejahtera.