[VIDEO] “Saya mohon maaf atas apa yang terjadi” Pegawai Tendang Motor Pelajar Jelaskan Apa Yang Berlaku
“Saya mohon maaf atas apa yang terjadi dan kejadian itu berlaku di luar kawalan.”
Itu luahan Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin yang menendang motosikal pelajar sehingga tular di media sosial, lapor BHarian.
Mohamad Hazmi turut mengakui lelaki dalam video berkenaan adalah dirinya dan dia sendiri turut tampil membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
“Bukan niat saya merosakkan harta benda pelajar, semuanya berlaku di luar kawalan. Saya memohon maaf kepada semua termasuk ibu bapa pelajar yang melapor diri semalam.
“Saya menganggap ini sebagai ujian dan peluang untuk muhasabah diri. Besar harapan saya usaha menabur bakti dalam bidang kemahiran dapat diteruskan.
“Pada masa sama, saya akur dengan arahan supaya bercuti selama seminggu serta dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan kesihatan mental di hospital,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tindakan Timbalan Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini semalam yang bertindak biadap menendang motosikal pelajar dan penjaga yang diletakkan di surau institut latihan berkenaan menjadi tular di laman sosial Facebook.
Perbuatan tersebut menjadi tular selepas seorang individu memuat naik sebuah video berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai tersebut menendang tiga buah motosikal yang diletakkan di perkarangan surau ILP.
Rakaman tersebut mendapat reaksi negatif daripada ibu bapa dan penjaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan biadap individu berkenaan.
Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, dia telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan perkara berkenaan ke pengetahuan pihak ibu pejabat Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
“Saya serta pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf atas tindakan tidak wajar oleh pegawai tersebut hingga menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan.
“Saya akan memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku pada masa akan datang demi imej dan intergriti ILP Kota Bharu serta JTM sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara yang terunggul,” katanya.
Katanya, semalam adalah dijadualkan untuk pendaftaran pelajar lama dan ILP menetapkan peraturan sebarang kenderaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam dan perlu diletakkan di luar.
Terbaru, pihak Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu sudah membuat laporan berhubung tindakan pegawainya menendang motosikal yang diparkir di dalam kawasan itu sehingga tular di media sosial hari ini.
Pengarahnya, Zainuddin Ahmad, berkata perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Malaysia (JTM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf di atas tindakan tidak wajar pegawai yang menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan dengan ILP Kota Bharu sepertimana yang ditularkan.
“Hari ini adalah pendaftaran pelajar lama dan memang sebarang kenderaan tidak dibenarkan masuk. Sepatutnya, pegawai itu tidak berbuat demikian dan boleh memanggil pelajar mengalihkan kenderaan mereka.
“Kami sudah melaporkan kejadian itu ke Ibu Pejabat JTM untuk tindakan segera diambil terhadap pegawai berkenaan,” katanya