Seorang pencinta haiwan Mohd Ridhuan Daud, telah memuat naik sebuah video di laman Twitternya.
Video tersebut memaparkan mengenai seekor anjing jalanan kelihatan sedih ketika dia mahu pulang ke rumah dari tempat kerja.
Berkongsi mengenai kasih sayang terhadap haiwan
Menurut pemuda ini, niatnya hanya sekadar mahu berkongsi dengan para pengikutnya mengenai kasih sayang terhadap haiwan.
Menerusi video tersebut, Mohd Ridhuan dilihat mengusap mesra seekor anjing yang menunjukkan reaksi sedih seolah-olah tidak mahu ditinggalkan.
Bersarung tangan ketika menyentuh haiwan tersebut
Walaubagaimanapun, Mohd Ridhuan mengenakan sarung tangan sebelum menyentuh haiwan tersebut.
Difahamkan, perkongsian video tersebut telah mendapat perhatian ramai sehingga meraih lebih 6,000 retweet dan 12,000 likes.
Saya masih tahu menjaga batas hukum sebagai seorang Muslim
“Sejujurnya apa pandangan orang, saya tak kisah. Saya masih tahu menjaga batas hukum dan sebagai seorang Muslim, saya tahu membezakan baik dan buruk”.
“Bagi saya, selagi saya tidak melanggar hukum agama, tidak salah sekiranya saya berbuat baik kepada anjing. Terpulang kepada orang. Kita tak boleh mengubah mentaliti mereka,” lapor mStar.
Saya memang selalu beri makanan kepada anjing jalanan
Ujar pemuda berkenaan lagi, setakat ini komen yang diterima di Twitter adalah yang positif, namun ada beberapa pelayar yang menitipkan komen berbaur nasihat kepadanya.
“Betul apa yang pelayar tu kata, kalau boleh elakkan bersentuhan di mana kalau saja-saja nak sentuh, mungkin boleh jadi lain hukumnya”.
“Tapi dalam situasi ini, saya memang selalu beri makanan kepadanya kerana ia adalah anjing jalanan. Apa-apa pun, saya tetap pakai sarung tangan,” ujar pemuda berusia 22 tahun ini.
Dikenali kerana sering beri makanan
Bercerita lanjut mengenai haiwan berkenaan, Mohd Ridhuan berkata haiwan itu sudah mengenalinya kerana sering memberi makanan sejak beberapa minggu lalu.
“Pertama sekali saya jumpa anjing dan bersama beberapa ekor yang lain di tepi laut. Saya memang selalu lepak laut selepas habis kerja atau selepas makan”.
Beberapa hari saya tidak ke sana, anjing ini jumpa tempat saya bekerja
“Jadi setiap kali ke sana, saya akan beri makan. Mula-mula takut juga sebab banyak ekor, tapi sebab niat nak bagi makan tak sangka disambut baik pula”.
“Beberapa hari saya tak ke sana, anjing ni merayau sampai terjumpa saya yang bekerja di kedai serbaneka tak jauh dari tempat selalu berinya makan”.
Anjing ini akan tunggu saya petang-petang sebelum balik rumah
“Sejak dari itu, ia memang tunggu saya petang-petang sebelum balik rumah. Itu yang terjadi scene sedih tu, seolah-olah saya nak tinggalkan dia,” ujar pemuda berasal dari Johor Bahru, Johor ini.
Bercerita lebih lanjut, Mohd Ridhuan berkata masyarakat tidak wajar membezakan layanan terhadap haiwan sama ada yang tinggal di jalanan mahupun yang dijadikan peliharaan.
Layanlah mereka sama rata, mereka makhluk Allah juga
“Layanlah mereka sama rata sebab mereka pun makhluk Allah juga, mereka layak untuk diberi kasih sayang,” ujarnya mengakhiri bicara.
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata netizne turut memuji niat baik pemuda berkenaan dan meninggalkan komen-komen positif mengenai isu tersebut.