Walaupun sudah mendapat kebenaran saat akhir dan terpaksa terbang sendirian, hasrat penyanyi rap Caprice untuk menjalankan misi kemanusiaan di Gaza, Palestin akhirnya tertunai.
Pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 33, berkongsi perkara tersebut menerusi satu video dalam laman Instagramnya, semalam.
Segak berpakaian formal sebelum berlepas ke negara bergolak tersebut, pelantun lagu Korang Tak Boleh Blah itu turut memohon urusannya di Gaza dipermudahkan.
“Tolong doa untuk saya Malaysia. Last minit Caprice dapat kebenaran untuk masuk ke Cairo-Gaza.
“Cuma kena terbang seorang diri malam ini (malam tadi). Maafkan segala kesilapan dan halalkan makan serta minum saya. Insya-Allah, saya akan buatkan anda semua berbangga. Demi ummah, rakyat dan negara.”
Terbaru, menerusi perkongsian di laman Instagram, Caprice dilaporkan selamat tiba di Cairo, Mesir bagi misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.
Apa yang menarik perhatian lagi, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli terus bergegas ke Hospital Palestin yang terletak di Mesir untuk melawat seorang ibu dan anak dari Gaza yang memerlukan bantuan perubatan.
Menerusi muatnaik tersebut, Caprice sempat berkongsi satu video lawatannya ke hospital terbabit untuk tatapan umum.
“Almost 18 jam tak tidur. Sampai Mesir terus ke Palestine Hospital untuk lawat seorang mak dari Gaza dan anak dia who is on life support dan perlu a brand new mobile ventilator.
“Terima kasih kepada Embassy Malaysia di Cairo dan Humanitarian Misson 4 Palestine for the support. Day one complete. Nak tido jap,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Di dalam IG story miliknya, penyanyi yang turut bergelar usahawan ini sempat tidur selama tujuh jam dan bergegas bangun apabila mendengar azan subuh pada jam 3.15 pagi (waktu Mesir).
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata para pengikut menitipkan pesan agar Caprice sentiasa menjaga kesihatan agar semua urusannya berjalan lancar.
Bahkan, ada yang turut meminta Caprice untuk bertemu dengan ustaz Ebit Lew yang berada di Kaherah, Mesir untuk memasuki Gaza, Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
“Caprice pi jumpa Ebit Lew. Work together,” komen seorang wargamaya.
“Semoga Allah permudahkan dan sentiasa memberi perlindungan pada Cap,” doa seorang wargamaya.
“Rest well bro, jangan lupa rehat. Take care,” pesan seorang wargamaya.
“Semoga niat yang ikhlas Allah permudahkan jalan ke arah matlamat kita semua, amenS,” doa seorang wargamaya.
“Cap kirimkan salam kami pada saudara-saudara di sana. Beritahu mereka, mereka sentiasa berada di dalam doa kami,” kata seorang wargamaya lagi.
BACA: “Risau teramat sangat..” Ustaz Ebit Lew Sewa Pesawat Hantar Bantuan Kepada Petugas Kesihatan ke Sabah
Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian video di Mesir telah mendapat lebih setengah juta tontonan di laman Instagram.