Beberapa hari yang lepas, media melaporkan pelakon yang baru pulang dari Scotland, Puteri Aishah positif virus COVID-19.
Terbaru, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa pula menjadi mangsa jangkitan virus ini selepas pulang dari penggambaran drama Demi di Scotland.
Khabar duka itu disahkan sendiri oleh ibunya, Syira yang turut dikesan positif pada hari ini seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Menurutnya, dia membawa Rayqa untuk membuat ujian pada pagi Rabu di Petaling Jaya.
“Saya dan Rayqa buat ujian pagi semalam di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. Pagi tadi baru dapat panggilan yang kami positif Covid-19.
“Sekarang, kami sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Selain dari Puteri Aishah, lima lagi ahli kru yang lain juga disahkan positif selepas kembali dari negara tersebut.
Namun begitu, seorang lagi pelakon popular Ben Amir disahkan negatif selepas menjalani ujian saringan COVID-19.
Kesemua pelakon dan kru penggambaran sebelum ini berlepas ke negara Eropah itu pada 9 Mac untuk menjalankan penggambaran drama bersiri tersebut.
Meskipun kerajaan belum melaksanakan PKP, keadaan semasa COVID-19 ketika itu sudah berada di tahap yang sangat membimbangkan.
Tindakan mereka yang meneruskan penggambaran di negara Scotland itu dipersoalkan dan dipertikaikan oleh netizen.
Malah isu ini semakin menjadi perhatian selepas pelakon utama mereka Puteri Aishah disahkan positif beberapa hari lepas.
Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan yang memperincikan tentang bagaimana ahli rombongan penggambaran tersebut dijangkiti wabak COVID-19.