Pelakon Fizo Omar menegaskan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat fitnah dirinya meminta bantuan kerajaan.
Menerusi perkongsian video di Facebook, Fizo menganggap tuduhan yang dilemparkan itu berniat jahat dan telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga.
“Berhubung isu selebriti minta bantuan dari kerajaan, ingin saya tegaskan tak pernah minta bantuan kewangan dari kerajaan atau mana-mana pihak seperti didakwa di media sosial.
“Ini adalah satu fitnah besar terhadap saya, jadi saya tak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang sewajarnya.
“Jika perkara ini berlarutan termasuklah komen kata-kata kesat di media sosial yang boleh menjatuhkan maruah saya dan nama baik saya serta keluarga,” katanya.
Fizo membuat penjelasan tersebut menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Selasa.
Terdahulu, tindakan Fizo meninggalkan komen pada video pelakon sensasi Zarina Anjolie mengundang kecaman netizen.
Bengang dengan komen tersebut, Zarina memuat naik satu lagi rakaman video yang ditujukan kepada Fizo Omar.
Rata-rata pengikut menyokong tindakan Zarina menegur semula pelakon drama Maaf Tak Indah itu.
Sementara itu, Fizo berkata apa yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham dan meminta mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut menarik balik kenyataan mereka.
“Isu sebelum ini hanya salah faham… sebab itu ia memberi kesan pada saya dan keluarga sehinggakan terima komen negatif, cacian, hinaan, makian terhadap saya dan keluarga.
“Saya maafkan korang semua dan tak simpan dalam hati pun dan saya berharap yang terlibat sila tarik balik sebelum saya ambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
“Saya minta maaf jika ada tindakan saya lakukan menggores hati mana-mana pihak, daripada keruhkan keadaan sama-sama kita doakan Covid-19 ini segera di hapuskan dan kita dapat cari rezeki bersama,”
Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan baik oleh semua pihak.