Satu perkongsian dari pengguna Facebook Siti Sarah yang berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ketika dia membuat ‘surprise delivery’ menjadi tular.
Menerusi video yang dimuatnaik Siti Sarah memaparkan dia sedang menghantar ‘surprise delivery’ di sebuah rumah yang didiami oleh sepasang suami isteri yang cacat penglihatan.
Menurut Siti Sarah, sejambak buah dan sekotak pizza telah dikirimkan oleh anak perempuan pasangan ini sempena ulang tahun kelahirannya.
Malah, lebih meruntun hati saat wanita ini membaca kiriman ucapan anak pasangan ini kepada kedua orang tuanya itu.
Dalam ucapan tersebut, si anak meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada mak dan abahnya atas pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan kepadanya.
Si anak turut menyatakan sangat merindui kedua ibu bapanya itu berharap mereka akan berjumpa suatu hari nanti.
“Assalamualaikum mak abah. Hari ini birthday kakak. Terima kasih mak abah, terim kasih atas semua pengorbanan mak abah lahirkan kakak, besarkan kakak, didik kakak, sentiasa lindungi kakak, sentiasa jadi hero dan heroin terbaik kakak.
“Walaupun Allah bagi macam-macam ujian tapi mak abah semampunya nak bagi kakak ada macam anak-anak orang lain ada.
“Alhamdulillah, terima kasih mak abah. Kakak bahagia hari ini atas doa dan restu mak abah. Kakak dapat jodoh yang sangat baik pun atas doa mak abah setiap hari. Kakak jadi nurse hari ini pun atas doa mak abah.
“Banyaknya pengorbanan mak abah pada kakak. Maaf kakak tak mampu nak balas walau sikit pun. Nanti ada rezeki Allah bagi kita jumpa. Rindu mak abah, sayang dua-dua.”
Sebak baca ucapan
Sementara itu, Siti Sarah menerusi perkongsiannya itu turut berasa sebak dan baginya delivery yang dibuatnya pada kali ini sangat bermakna sehingga terkesan di hati. Tambah wanita ini lagi, pengalaman ini mengajarnya sesuatu yang susah nak jumpa dan kadangkala perkara ini juga seringkali kita terlepas pandang. Walaupun pasangan suami isteri ini diuji dengan cacat penglihatan tetapi mereka sekeluarga sangat bahagia.
“Kita selalu nak kan yang perfect nak ibu bapa macam ni macam ni. Tak dpt apa-apa kita bebal tapi kadang-kadang cuba kita fikir mereka yang tak mampu nak bagi.
“Mak abah yang tak dapat melihat masyallah aku menangis ya waktu nak baca, air mata bergenang suara aku bergetar-getar dengan harapan makcik tu tak adalah perasan.
“Yang paling aku nampak ialah walaupon mereka buta, aku tengok dorang happy macam kita juga. Tak nmpak sedih langsung.”
Rata-rata netizen amat tersentuh dengan perkongsian tersebut serta mengucapkan tahniah kepada kedua ibu bapa tersebut kerana dikurniakan anak mithali.