Memetik laporan Harian Metro, penyanyi berusia 20 tahun itu bersyukur dapat memiliki rumah sendiri selepas menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak kanak-kanak.
Beli rumah secara tunai pada usia 19 tahun
PENYANYI Masya Masyitah mendedahkan dia berjaya membeli rumah secara tunai bernilai RM300,000, pada tahun lalu ketika berusia 19 tahun.
Malah Masya, 20, yang berasal dari Kulim, Kedah ditemui berkata keseluruhan wang itu diperolehnya daripada pembabitan serius dalam kerjaya nyanyian.
Saya sudah kumpul duit dari kecil
Menerusi satu video yang dimuat naik di Saluran Youtube penyanyi itu, beliau turut bercerita lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak lagi, termasuk banyak menyertai pertandingan nyanyian dianjurkan”.
“Jadi, saya dah kumpul duit dari kecil dan Alhamdulillah, kini dapat beli rumah”, ujar penyanyi ini.
Saya tiada kerja tetap dan penyata gaji bulanan
“Pembelian dibuat secara tunai kerana lebih mudah dan saya tak perlu terikat dengan kadar faedah pinjaman di bank. Apatah lagi, saya tiada kerja tetap yang mempunyai penyata gaji bulanan”.
“Apapun, saya amat bersyukur sudah memiliki aset sendiri seperti rumah dan kereta, hasil daripada aktif menyanyi selama ini,” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada kereta juga dibeli secara tunai, Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah Yusoff berkata dia membuat pinjaman bank untuk kenderaan.
Tiada niat untuk menunjuk langsung
Mengulas dirinya yang dikait menunjuk kemewahan apabila berkongsi video dekorasi dan tatarias dalam kediamannya di YouTube. Masya berkata ia sekadar perkongsian buat peminat.
“Apa yang saya tunjukkan dalam video di YouTube itu hanya perkongsian biasa kepada peminat yang menyokong selama ini. Tidak ada niat nak menunjuk-nunjuk langsung”.
“Bagaimanapun, saya tahu tidak semua yang dilakukan atau ditunjuk kepada umum itu disukai orang lain. Pasti, ada segelintirnya yang akan beri komen negatif,” katanya.
Semoga ia menjadi inspirasi kepada yang lain
Difahamkan, Masya yang baru setahun menduduki kediamannya di Cheras berkata dia membeli kondominium itu kerana mudah baginya untuk lebih aktif dalam kerjaya nyanyian di ibu kota.
Tinggal bersama ibunya, Masya memberitahu dia memang suka menabung sejak kecil. Katanya, semoga apa yang dilakukan menjadi inspirasi kepada golongan belia lain.
Selain itu, Masya juga popular dengan lagu Halimunan dan terbaharu, Hapus. Semoga kisah ini menjadi contoh kepada yang lain.