Seorang wanita mempunyai berat badan mencecah 200 kilogram telah meninggal dunia malam tadi di Kampung Gaung, Tendong, lapor Sinar Harian.
Wanita tersebut, Nur Izzati Afiqah Hussein sudah lima bulan mengalami keadaan itu disebabkan penyakit misteri.
Arwah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.50 malam.
Menurut ibu saudaranya, Zainab Hassan, 57, sebelum ‘pergi’ Nur Izzati Afiqah mengalami pendarahaan luar biasa.
“Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak.”
Malah menurutnya, ketika itu Nur Izzati Afiqah masih boleh bercakap seperti biasa dan kemudian beransur-ansur menjadi lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Walaubagaimanapun, dia dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang baik.
Tambahnya lagi, dia cukup rapat dengan arwah memandangkan dia menguruskan arwah setiap hari.
“Selain ibunya, saya adalah orang yang cukup rapat dengan arwah kerana setiap hari mengurus dan menjaganya sepanjang dia sakit,” katanya.
Jenazah arwah akan disemadikan jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung.
Keluarganya terpaksa mendapatkan kerjasama Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi membantu urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.
Sebelum ini, kisah arwah Izzati menjadi tular di media sosial apabila berat badannya naik mendadak mencecah sehingga 200 kilogram.
Sejak itu arwah yang sebelum ini berat 150kg hanya mampu terlantar di atas tilam dan seluruh kehidupannya kini diuruskan oleh ibu, Maheran Daud, 54, dan kakaknya, Nur Izzati Liyana, 31, serta tiga ibu saudaranya.
Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.
Pingback: Pernah Tul4r Sebelum Ini Kerana Punyai Berat Luar Biasa, Wanita Ini Pergi Menghadap Ilahi – Vanilla Daily