Tidak semua yang dilahirkan di dalam dunia ini dalam keadaan sempurna bahkan ada juga dikalangan kita yang diuji dengan pelbagai penyakit. Siapalah kita sebagai hamba hendak menidakkan takdir Allah SWT bukan ?
Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang juga merupakan penjual sate tidak menyangka dirinya bertemu jodoh walaupun mempunyai kekurangan daripada segi fizikal mencuri perhatian ramai.
Dikenali sebagai Amira Syafikar atau senang disapa Amira, wanita ini akui sudah tidak memikirkan soal jodoh setelah ikatan tali pertunangannya bersama seorang jejaka putus ditengah jalan.
“Sebenarnya saya pernah bertunang namun jodoh tak panjang. Lima tahun mengikat tali pertunangan, akhirnya ia putus pada Januari lalu.”
“Selepas itu saya serik dan enggan terlalu memikirkan soal jodoh buat sementara. Namun siapa sangka, seorang jejaka menghulurkan salam perkenalan di media sosial beberapa bulan selepas saya putus tunang,” cerita Amira mengenai detik perkenalan dengan jejaka bernama Syahmi, yang kini merupakan suaminya.
Wanita berusia 28 tahun ini berkata, pada awal perkenalan, dia mengambil pendekatan untuk berterus terang dan jujur mengenai keadaan dirinya kepada jejaka tersebut.
“Bukan apa, ada sesetengah orang tak dapat terima jika bakal pasangannya kurang sempurna. Tapi dia tidak melihat itu semua. Saya tanya, bagaimana pula dengan keluarganya?
“Dan dia kata keluarganya juga tak kisah. Tiga minggu selepas berkenalan, Syahmi dan keluarganya masuk merisik, iaitu pada hari raya kedua Aidiladha, Julai lalu.
“Saya tak minta pun bawa cincin sebab kekurangan pada jari. Tapi pihak lelaki bawa juga, tengok-tengok ngam pula dengan jari manis.
“Kami sepakat untuk tidak bertunang sebaliknya terus bernikah,” ujar Amira yang cacat pada jari kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir.
Amira yang kini mengusahakan perniagaan Abah Man Sate di Batu Kurau, Perak, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya pada 30 September lalu.
Ujar anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini, dia tidak teragak-agak menerima Syahmi sebagai suami kerana melihat usaha lelaki tersebut yang bersungguh-sungguh mahu menghalalkan hubungan mereka.
“Selain itu dia merupakan seorang lelaki yang matang, solat tak tinggal serta menghormati orang tua. Itu yang menambat hati saya,” ujarnya.
“Sebelum video cincin tu, saya ada muat naik satu video lain ketika saya sedang membungkus sate. Ada seorang follower komen, beritahu dia juga sama seperti saya… mempunyai kekurangan pada tangan.
“Tapi dia segan dan tak pernah tunjuk di media sosial kerana merasa diri tak sempurna.”
“Apa yang boleh saya katakan, jangan malu dengan sendiri. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Lagipun, sampai bila nak menyorok? Sepatutnya kita bersyukur dengan apa jua yang Allah dah berikan,” ujarnya lagi.
Video yang tular di laman TikTok: