Ramai yang tertanya-tanya ke mana pergi pelawak Ilya Buang selepas dia dilihat tidak bersama ahli kumpulan Sepahtu yang lain dalam siaran Sepahtu Reunion Live.
Ada yang mendakwa pelawak itu dihalang daripada membuat rakaman program Sepahtu Reunion Live yang sepatutnya berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Jumaat lalu.
Ia berpunca dari persembahan final MLM
Menurut Ilya atau lebih dikenali sebagai Pak Ya, insiden itu dipercayai berpunca daripada sindiran dalam persembahannya pada malam final Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019).
Ilya yang sebelum ini menyertai MLM dengan menyertai kumpulan Rare bersama anggota lain Ropie dan Ajak.
Memang ada sindiran, ia cuma untuk tujuan melawak saja
“Ya, betul saya disekat daripada beraksi oleh orang-orang tertentu di Shah Alam”.
“Ia mungkin berkaitan dengan Maharaja Lawak Mega yang saya buat masa final hari tu kerana mereka sendiri (pihak berkenaan) yang maklumkan kepada Astro”.
“Memang ada sikit sindiran, cuma ia dibuat untuk tujuan melawak saja. Tak sangka pula mereka ambil serius,” ujarnya kepada mStar pada Sabtu.
Babak komedi penapis air yang menjadi punca hal ini terjadi
Pada malam final Maharaja Lawak Mega 2019 lalu, kumpulan Rare muncul dengan lawak sindiran apabila melakonkan babak komedi di mana Ropie menggunakan penapis air kononnya untuk menapis kadar neutral dan kadar kandungan pH (air).
Ilya kemudian bertanya jika pH air itu okay, bagaimanapun Ropie memberi jawapan ‘teruk’.
Selain itu Pak Ya turut mengulas, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana kandungan persembahan kumpulannya pada malam final lalu mendapat kelulusan pihak bertanggungjawab.
Pihak MCMC tiada masalah dengan babak itu
“Mereka perlu faham sebelum membuat persembahan, setiap peserta wajib mempersembahkan pengisian mereka kepada pihak produksi dan produksi akan semak pula dengan pihak-pihak lain yang akan memberikan kelulusan”.
“Jadi kami dimaklumkan content kami tiada masalah, masa live malam itu pun semuanya lepas”.
“Pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sendiri pun tiada apa-apa masalah,” katanya.
Beliau dihalang dari membuat persembahan di Shah Alam
Berikutan kejadian itu, Pak Ya menjelaskan bukan hanya dia yang dihalang daripada membuat persembahan di Shah Alam malah pelawak Ropie juga turut terkena tempias sama.
“Sebenarnya kalau mereka juga ada persembahan di Shah Alam, semuanya akan kena (banned), termasuklah Ropie”.
“Dia juga sepatutnya ada persembahan dengan Datuk Awie untuk konsert Romantika tapi dia pun kena”.
Bukan saja seorang tapi satu kumpulan
“Bukan saya seorang saja tapi satu kumpulan. Ajak pula kerjanya semua di luar Shah Alam… sebab tu dia tiada masalah”.
“Apa yang saya boleh katakan setakat ini saya tak lepas untuk apa-apa rakaman termasuk Sepahtu Al-Puasa dan pihak produksi mengambil keputusan membatalkan recording itu esok sebab saya tak ada”.
“Apa-apa pun saya berterima kasih dan memohon maaf kepada pihak Astro kalau saya penyebab masalah ini sehingga ia mengganggu pihak produksi. InsyaAllah minggu depan saya harap perkara ini boleh selesai,” ujarnya.
Diharap segala kemelut yang melanda kumpulan Rare dapat diselesaikan dan mereka kembali menghiburkan penonton.